malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
DBP mahu diberi kuasa sebagai penguatkuasa
Diterbitkan:  Jan 26, 2019 12:23 PM
Dikemaskini: 4:23 AM
ADS

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersedia menggalas tanggungjawab sebagai penguatkuasa memantau penggunaan bahasa kebangsaan.

Ketua Pengarahnya Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata, bagi tujuan itu pihaknya kini dalam proses memulakan permohonan kepada kerajaan untuk menjalankan tugas penguatkuasaan tersebut lapor Berita Harian.

“Kami melihat DBP ada keperluan pindaan akta DBP untuk memberi kuasa kepada DBP mengambil tindakan berkaitan isu pelanggaran bahasa kebangsaan.

“Selain penguatkuasaan longgar, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) , tidak semua PBT ada peraturan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam mengikut undang-undang kecilnya,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Katanya lagi, sementara menunggu proses permohonan kuasa itu, pihaknya meminta kerajaan mewujudkan undang-undang penggunaan bahasa melibatkan semua PBT dinegara ini.

“Pada masa sama, (kita dapat) pastikan ia dikuatkuasakan seperti sepatutnya,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Abang Sallehuddin berkata bahasa kebangsaan dianggap tidak penting oleh sesetengah pihak sehingga menyebabkan peruntukan mengenainya mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa sering dilupakan.

“Apa yang DBP perjuangkan sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, jadi kami perlu memastikan identiti kebangsaan, pamatuhan terhadap semangat Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan sentiasa dijaga,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Maszlee Malik menyambut baik usaha DBP itu, katanya kementeriannya akan membawa apa juga cadangan untuk mengangkat dan meningkatkan kedudukan bahasa kebangsaan keperingkat lebih tinggi.

“Saya percaya DBP dibawah pentadbiran ketua pengarah baru akan lebih agresif dalam soal mempertingkat kedudukan bahasa kebangsaan,” katanya.

Lihat Komen