malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
60 usahawan seni dilahirkan sejak 2017
ADS

Program Usahawan Seni Muda (YAE) di bawah Balai Seni Negara (NAG) telah melahirkan 60 usahawan sejak ia dilancarkan pada 2017 kata Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Rashidi Hasbullah.

Katanya, melalui program berkenaan, pelajar-pelajar mampu menjana pendapatan sendiri dalam tempoh empat bulan menjalani kursus itu.

“Program (YAE) ini hanya empat bulan sahaja, selepas itu kita akan ambil orang lain pula. Mereka ini kita akan ajar jadi usahawan, sudah pandai berniaga (hasil karya seni) sudah ada modal dapat jual semua. Kita akan ‘groom’ orang lain pula,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Perasmian Kalendar Program Balai Seni Negara 2019 dan Pameran The Wall : Dinding Bandar yang turut dihadiri Ketua Pengarah Balai Seni Negara Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa.

Kata Rashidi, YAE yang memasuki tahun ketiga bertujuan membantu lepasan pelajar institusi pengajian tinggi khususnya dalam bidang seni bagi menambah ilmu pengetahuan keusahawanan, memasarkan produk seni di samping menjadi platform bagi mereka mengembangkan bakat seni sedia ada.

Selain itu, program ini juga menyediakan tempat kepada pelajar untuk mula berkarya kerana kebanyakan galeri seni sedia ada adalah milik persendirian dan agak mahal.

Selain itu Rashidi berkata Balai Seni Negara akan menubuhkan cawangan pertamanya di Dayang Walk, Langkawi tahun ini yang akan memenuhi keperluan pelanggan dan pencinta seni negara khususnya pelancong serta khalayak di zon utara Semenanjung Malaysia.

- Bernama

Lihat Komen