malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelakon S'pura maut tersepit meriam
Diterbitkan:  Jan 24, 2019 9:24 PM
Dikemaskini: 1:24 PM
ADS

Aktor popular Aloysius Pang, 28 disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas tersepit antara laras meriam katak (howitzer) dengan kabin ruang pengendalinya semasa latihan ketenteraan di New Zealand.

Panglima Tentera Darat Singapura, Mejar-General Goh Si Hou berkata, dalam insiden terbabit, Aloysius Pang tidak sempat mengelak apabila laras Self-Propelled Howitzer (SSPH) diturunkan.

“Dapatan awal menunjukkan, Aloysius tidak berjaya keluar sewaktu laras meriam diturunkan.

“Dia cedera tertindih selepas tersepit di antara pangkal laras meriam semasa berada di dalam bahagian kenderaan itu,” katanya seperti dipetik Channel News Asia.

Kata Goh, apabila laras meriam diturunkan, ruang dalam Howitzer berkurangan, namun selalunya ia mencukupi untuk pengendali artileri dan juruteknik beroperasi.

“Malangnya, Aloysius tidak dapat mengelak semasa laras itu diturunkan," kata beliau.

Aloysius Pang, 28, juruteknik persenjataan di bawah Batalion Artileri Singapura ke-268 dikerah menjalani latihan ketenteraan kerahan khidmat negara di Waiouru, New Zealand.

Ia sebahagian daripada latihan tahunan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang dipanggil Exercise Thunder Warrior.

Pada 19 Januari lalu, pelakon filem Young and Fabulous itu ditugaskan membaiki kerosakan pada laras SSPH bersama seorang lagi juruteknik dan seorang komander senjata.

Aloysius Pang yang berpangkat Korporal Kelas Pertama, meninggal dunia empat hari selepas mengalami kemalangan terbabit pada Sabtu.

Semasa menerima rawatan di Hospital Waikato, sebuah pusat trauma daerah, dia menjalani tiga pembedahan untuk merawat kecederaannya.

Kemalangan ini adalah kali keempat berlaku dalam tempoh 18 bulan mengaitkan SAF dan anggotanya yang meninggal dunia sewaktu dalam latihan.

Sementara itu, menurut Komander Pusat dan Sokongan Khidmat Kombat Kolonel Terry Tan, sesuatu laras meriam yang diturunkan dari dalam kabin biasanya memerlukan sembilan hingga 10 saat untuk diturunkan sepenuhnya dari posisi sedia.

Ditanya siapa yang menurunkan laras meriam dan jika terdapat kelemahan prosedur keselamatan, MG Goh bagaimanapun berkata perkara itu akan disiasat lebih lanjut.

Menurut Terry, adalah “tidak wajar” untuk memberikan sebarang perincian hingga siasatan selesai.

Terry berkata, Aloysius Pang seorang juruteknik berkelayakan dan berkebolehan.

Menurutnya, sebelum latihan berskala seperti ini, anggota tentera perlu menjalani program latihan menyeluruh.

“Semua dilakukan dengan memberi penekanan pada latihan keselamatan dan langkah berjaga-jaga semasa mereka melakukan tugas-tugas penyenggaraan.

“Aloysius sudah menjalani latihan dan berkelayakan serta berkebolehan untuk melakukan tugasnya semasa Latihan Thunder Warrior,” jelas beliau lagi.

Lihat Komen