malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Konsert Dewa 19 mungkin yang terakhir?
Diterbitkan:  Jan 23, 2019 9:50 PM
Dikemaskini: 2:25 PM
ADS

Penyanyi, pemuzik dan pencipta lagu, Ahmad Dhani berharap peminat Dewa 19 yang berada di negara ini tidak melepaskan peluang menyaksikan konsert mereka pada 2 Feb depan.

Sebabnya mungkin tidak akan digemari semua Baladewa- iaitu gelaran yang diberikan kepada pengikut tegar mereka.

Kata pengasas Dewa 19 itu, ada kemungkinan konsert berkenaan adalah yang terakhir akan dipersembahkan mereka.

“Kami harap semua Baladewa dapat bersama pada malam itu. Siapa tahu, ini mungkin yang terakhir,” kata Ahmad Dhani melalui kenyataan media.

Kata Ahmad Dhani, ketika ini Dewa 19 adalah sebuah "band panggilan" iaitu kumpulan yang hanya membuat persembahan apabila mendapat permintaan.

Malah katanya mereka sudah tidak lagi menghasilkan single mahupun album terbaru.

“Jika dijemput, kami bisa manggung (buat persembahan),” katanya.

Dalam konsert berkenaan, Dewa 19 dijadual mempersembahkan 30 lagu poplar mereka sejak album pertama yang dihasilkan pada 1992.

Lebih menarik, Dewa 19 bukan saja mempersembahkan lagu-lagu untuk peminat, malah di atas pentas sama mereka akan menampilkan dua vokalis yang pernah mewarnai kumpulan itu sejak ia ditubuhkan pada 1986. 

Stadium Malawati Shah Alam dipilih sebagai gelanggang yang dijangka akan meninggalkan kesan tersendiri buat kumpulan terbabit dan Baladewa.

Pulang dengan memori manis

Seperti diluahkan Ahmad Dhani, senarai awal lagu yang mahu diperdengarkan terlalu besar iaitu sebanyak 50 lagu. Ini menyebabkan mereka sukar untuk memilih 30 lagu terbaik.

Malah katanya mereka hampir bingung semasa membuat pemilihan itu kerana semua lagu tersebut disukai ramai.

“Kami mahu mereka yang datang nanti pulang bersama memori paling manis.

“Setiap dendangan mempunyai nilai sentimental bukan saja kepada kami malah para Baladewa yang membesar bersama rangkaian lagu sejak buah tangan pertama lagi.

“Seboleh-bolehnya kami ingin membawakan semua lagu secara penuh, bukan medley demi kepuasan penonton," katanya.

Bercakap mengenai persediaan yang dibuat, Ahmad Dhani memaklumkan sejak awal Jan lagi pasukannya sudah dua kali mengadakan sesi latihan penuh termasuk bersama barisan pemuzik asal yang pernah bersama Dewa 19.

Pada masa sama, Ahmad Dhani tidak ketinggalan untuk memberi penghargaan buat peminat Malaysia yang amat menghargai kumpulan berkenaan.

‘Ya, kami rasa lebih dihargai di Malaysia berbanding di Indonesia sendiri,” luahnya tanpa berselindung sekali gus menunjukkan Malaysia istimewa di hati band terbabit.

Sementara itu penganjur, Nizra Production memaklumkan tiket sudah 80 peratus dijual termasuk tempat duduk termahal berharga RM888.

Lihat Komen