malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Zamani lebih komited lepas 'suara koyak'
ADS

Pernah berdepan masalah peti suara, penyanyi Zamani Ibrahim meluahkan syukur kerana ujian yang melanda kini mengubahnya menjadi seorang penghibur yang lebih komited.

Menurut Zamani, peristiwa ‘suara koyak’ ketika menyertai sebuah siri realiti TV tahun lalu memberinya motivasi agar memberikan sepenuh tenaga dan perhatian bagi menghasilkan sesuatu persembahan yang lebih mengagumkan buat peminat.

“Kejadian yang berlaku itu membuatkan saya ingin bertanggungjawab menjadikan setiap persembahan lebih mantap dan baik,” katanya.

Zamani, 46, ditemui pada majlis pengumuman Konsert 3 Suara di Bukit Kiara, Damansara, Kuala Lumpur semalam.

Sewaktu pertandingan Gegar Vaganza 5 (GV5) sedang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam pada 28 Okt 2018, vokalis kumpulan Slam itu gagal menyampaikan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kaupinta ekoran peti suaranya koyak.

Kejadian itu berlaku semasa Zamani dalam persaingan minggu kelima bersama sembilan lain.

Ditanya sama ada insiden itu menimbulkan keraguan pihak tertentu yang meragui kredibilitinya sebagai penyanyi selepas ini, Zamani dengan yakin menjawab: “Insya-Allah tidak.”

Bukan boleh jangka

Kata penyanyi Gerimis Mengundang itu, setakat ini jadual persembahannya sudah penuh hingga Jun nanti, malah ada perancangan yang terpaksa ditangguhkan.

“Sampai tak boleh buat rancangan lain. Takut nak ambil banyak, nanti tak terlayan. Ni yang ada, alhamdulillah,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai persediaan vokalnya selain harapan agar tidak berulang peristiwa sama pada Konsert 3 Suara nanti, Zamani berkata dia akan berusaha sebaik mungkin.

Zamani, Jamal dan Ameng akan menjayakan konsert 3 Suara di Ipoh, Perak

Selebihnya, kata Zamani, dia hanya mampu berserah kepada Tuhan.

“Doakan segala-galanya akan OK, benda begini tak boleh nak jangka, macam apa yang terjadi kepada suara saya sewaktu GV5 secara tiba-tiba,” katanya.

Selain Zamani, konsert berskala mega yang bakal berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak pada 6 April depan itu bakal menampilkan dua lagi penyanyi hebat iaitu Jamal Abdillah dan Ameng Spring.

Lihat Komen