malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Lepas kata dua Datuk Red, Nova Music tampil bela diri
ADS

Syarikat rakaman Nova Music menafikan dakwaan pihaknya diberi amaran agar tiada babak bersentuhan dengan bukan mahram oleh penyanyi Adira Suhaimi dalam video muzik Pujaan Hati, yang dilancarkan minggu lalu.

Pengarah urusannya Rosmin Hashim berkata, pihaknya tidak diberitahu tentang parkara itu sama ada oleh Adira, 27, mahupun suaminya Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red.

“Apa-apa arahan pun kami terima daripada Adira, malah sebelum penggambaran video muzik Pujaan Hati dia juga tak beritahu timbul sebarang masalah untuk melakonkan babak bersentuhan dengan pelakon lelaki.

“Saya tak terima dan tidak tahu-menahu mengenai sebarang amaran,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Media melaporkan Adnan meluahkan rasa tidak puas hati berhubung babak isterinya bersentuhan dengan lelaki lain dalam video muzik itu.

Justeru dia memberi amaran kepada Adira dan juga Nova Music agar mengambil tindakan susulan, sama ada memadam atau menyunting babak-babak yang perlu.

Bagaimanapun, amaran itu dikatakan tidak diendahkan dan Adnan memberi tempoh tiga hari kepada syarikat pengurusan Adira untuk menyelesaikan perkara itu.

Rosmin Hashim (dua dari kanan)

Mengulas lanjut, Rosmin berkata pihaknya tidak akan sesekali memaksa artis naungannya untuk melakukan sebarang babak di luar kemahuan mereka.

“Tiada paksaan, semua keputusan bergantung kepada Adira,” katanya.

Katanya lagi, jika pihak syarikat dimaklumkan lebih awal mengenai perkara itu, pihaknya boleh saja memotong adegan bersentuhan itu.

“Jika ada yang menimbulkan masalah, kami boleh ubah jalan cerita. Buat masa ini, kami menunggu arahan artis jika dia ingin memadam adegan tersebut.

“Pihak Nova Music ada perjanjian dengan artis yang bernaung di bawah syarikat pengurusan, justeru, kami akan ikut arahan Adira berkaitan pengurusan kariernya,” katanya lagi.

Adira pula dilaporkan enggan mengulas lanjut mengenai perkara yang sedang menghangatkan namanya itu selepas dua tahun menyepi.

Dia sebelum ini pernah memaklumkan telah memberitahu suaminya itu untuk kembali aktif menyanyi selepas sekian lama berehat daripada pentas seni.

Semasa pelancaran klip video Pujaan Hati minggu lalu, penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia itu menyatakan kesediaannya dikecam jika babak bersentuhan dalam runut bunyi drama Pujaan Hati Kanda itu mengundang reaksi negatif.

Lihat Komen