malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ardell tetap rindu nak tendang bola macam dulu
ADS

Walaupun berdepan masalah kesihatan dan sedang berjuang melawan penyakit, pelakon Ardell Aryana mengaku dia tidak pernah sesekali berputus asa atau melepaskan impiannya untuk kembali aktif bersukan.

Ardell - yang sebelum ini pernah memuat naik video dia berkerusi roda di media sosial - meluahkan, perasaan rindu untuk menendang bola seperti dulu masih kuat bersarang di lubuk hatinya.

Berkongsi mengenai tahap kesihatannya pula, pemilik nama asal Nurul Hidayah Mohd Amin itu berkata, dia akan membuat rawatan susulan pada Feb ini selepas kali terakhir berbuat demikian kira-kira dua bulan lalu.

“Saya dah boleh jalan, sihat tapi belum boleh buat aktiviti lasak atau main futsal. Saya baru saja mula berjalan selepas habis rawatan November tahun lalu.

“Biasa lepas jalani rawatan, saya tak larat dan lemah,” katanya.

Ardell, 27, ditemui pada malam gala tayangan filem terbaru lakonannya, XX Ray 3 di kompleks beli-belah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Kisah Ardell bertarung nyawa dengan penyakit rahsia yang dihidapi sering mendapat perhatian di media.

Bertuah ada sahabat

Berbanding sesetengah selebriti yang gemar berkongsi perkembangan kehidupan mereka, pelakon drama Duri Di Hati itu pula bertindak di sebaliknya.

Dia lebih selesa mengunci mulut mengenai ujian dan takdir getir yang sedang didepani.

Bagaimanapun, Ardell dispekulasi umum mengidap kanser tahap tiga selepas individu yang mengenalinya mula memberi bayangan betapa seriusnya penyakit itu di media sosial.

Berkongsi lanjut, kata Ardell, dia berasa cukup bertuah apabila dikurniakan sahabat yang cukup memahami seperti pelakon dan penyanyi Nadzmi Adhwa Nor Adzmi.

Menurutnya, Nadzmi merupakan seseorang yang tidak pernah berputus asa untuk menghiburkannya walaupun dia sering membalasnya dengan sikap kasar.

“Memang saya ramai kawan, tetap tak semua ada semasa sakit. Nadzmi berbeza, dia akan cuba menaikkan semangat walaupun sering dimaki dan disuruh berambus.

“Saya pernah diminta muncul dalam video muziknya Wanitaku, Nadzmi bagi peluang itu sebab dia tahu saya rindu nak bermain bola dan berlari. Saya benar-benar hargai saat itu,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai XX Ray 3, Ardell berkata, dia berbesar hati menerima tawaran filem yang mendapat arahan Aziz M Osman.

Katanya, dia membesar dengan menonton karya-karya sutradara itu yang popular seperti XX Ray dan XX Ray 2.

“Sejak usia 5 tahun lagi saya gemar menonton filem Aziz.

“Tidak kiralah bajet sekecil mana yang dibagi, saya tetap setuju sebab ini adalah pengalaman dan peluang yang sudah lama dinanti-nantikan,” katanya mengenai filem yang dijangka menjengah pawagam 24 Jan itu.

Lihat Komen