malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pemuzik, pelawak berganding bahu bantu waris Zaibo
ADS

Lebih 20 pemuzik dan pelawak dijadual berganding bahu menjayakan acara Mengenang Zaibo: Menghormati Zaibo pada 26 Januari ini melalui persembahan pentas bagi membantu mengumpul dana untuk keluarga arwah.

Penganjur dan pengasas kumpulan Positive Music 4 Positive People, Saiful Azlan Dr Freezailah berkata, mereka mahu melakukan sesuatu yang positif berkaitan seni dan membantu keluarga allahyarham yang disegani dalam dunia seni.

"Bagi saya kalau benda tu baik tu buat saja tak payah nak fikir-fikir. Sebelum ini pernah merancang untuk mengutip sumbangan buat arwah.

“Tetapi arwah meninggal dunia ketika kami sedang membuat persiapan berkenaan,” katanya.

Saiful, 42, ditemui pada majlis pelancaran awal Mengenang Zaibo: Menghormati Zaibo di Ara Damansara, Petaling Jaya hari ini.

Kata Saiful, 42, (gambar, bawah) ilham mewujudkan persembahan Mengenang Zaibo: Menghormati Zaibo tercetus ekoran dirinya rapat dengan pelakon veteran dan pelawak itu sejak kecil.

“Semasa hayatnya, arwah memang mempunyai hubungan baik dengan ramai orang dan saya salah seorang daripada adik angkatnya.

“Arwah juga dikenali kerana sifatnya yang murah hati dan suka bersedekah,” katanya.

Zaibo atau nama penuhnya Zainal Ariffin Abdul Hamid meninggal dunia selepas bertarung melawan penyakit kanser esofagus tahap 4 pada 14 November tahun lalu.

Selain Siti Hawa - yang bekerja sebagai pengamal kaedah perubatan tradisional - allahyarham turut meninggalkan sembilan anak, empat daripadanya masih bersekolah rendah.

Antara pemuzik dan pelawak yang bakal menjayakan program berkenaan, Noh Salleh, AchmedX Roots n Boots, Penunggu, Cuurley, Airwaves on Fire, Kayda Aziz, Papi Zak, dan Kavin Jayaram.

Mengenang Zaibo: Menghormati Zaibo dijadual berlangsung di The Space, Oasis Village, Oasis Ara Damansara. Persembahan dijangka bermula seawal jam 1 petang hingga 9 malam.

Sementara itu, menurut wakil Siti Halwa, iaitu anak buahnya, Noor Aishah Sahari, 46, inisiatif dilancarkan Saiful bak “bulan jatuh ke riba.”

“Bak bulan jatuh ke riba, ada orang sudi membantu keluarga arwah Zaibo. Saya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada mereka yang memberi sokongan,” katanya.

Lihat Komen