Pengiklanan

    Haneesya Hanee bukan lagi juara Dewi Remaja

    (Dikemaskini )

    Buat kali pertama penganjur pertandingan Dewi Remaja melucutkan gelaran juara yang dimenangi pesertanya.

    Gelaran Dewi Remaja 2018/2019 milik Haneesya Hanee, 18 tahun, ditarik balik hari ini atas sebab berlaku pelanggaran kontrak.

    Perkara itu diumumkan di pejabat penganjur NU Ideaktif hari ini. Haneesya yang turut hadir menyerahkan mahkota, trofi dan selempang yang dimenanginya.

    Editor Remaja Faiz Azman berkata gelaran Haneesya ditarik balik kerana dia didapati melanggar syarat-syarat yang ditandatanganinya sebelum menyertai pertandingan itu.

    “Pihak kami tidak berkompromi dengan perkara seperti ini kerana ia melibatkan reputasi jenama Dewi Remaja, majalah Remaja dan peserta yang lain juga.

    “Oleh yang demikian, kami mengambil keputusan menarik balik gelaran tersebut daripada Haneesya Hanee,” katanya seperti dipetik Sinar Harian hari ini.

    Sebelum ini rakaman yang memaparkan Haneesya, atau nama sebenarnya Sharifah Haneesya Sayed Sahlan, di sebuah kelab malam sehari selepas diangkat sebagai juara pertandingan itu Ahad lalu, tular di media sosial.

    Turut dirakam dalam video itu adalah beberapa lagi peserta Dewi Remaja.

    Faiz berkata penganjur tidak akan memilih pemenang baru susulan keputusan itu.

    “Kami kesal dengan kejadian ini. Pun begitu, pihak kami akan terus menyokong kerjaya Haneesya Hanee biarpun tidak bergelar Dewi Remaja lagi,” katanya lagi.