malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Demi meneruskan kelangsungan kariernya sebagai penghibur, penyanyi Adira Suhaimi nekad mencekalkan diri terhadap segala tindak-tanduk netizen.

Menurut Adira, langkah itu sesuai dengan semangatnya yang berkobar-kobar untuk kembali aktif mewarnai dunia seni selepas dua tahun menyepi.

Kerana itu juga kata Adira, dia sudah bersedia sekiranya buah tangan terbaru yang ditampilkan bersama kemunculan semulanya iaitu Pujaan Hati menerima reaksi negatif.

"Saya sudah bersedia. Sudah lama saya tidak tular, sesekali apa salahnya," katanya bergurau.

Pemilik nama penuh Siti Adira Suhaimi itu ditemui pada majlis pelancaran single dan muzik video Pujaan Hati di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur hari ini.

Bintang kelahiran Akademi Fantasia itu berkata demikian ketika diminta mengulas babak bersentuhan bukan mahram dalam muzik video berkenaan yang dilakonkan sambil menyanyi untuk runut bunyi drama bersiri iaitu Pujaan Hati Kanda.

Drama yang sedang bersiaran di TV3 sejak Disember lalu itu menampilkan barisan pelakon antaranya Remy Isyak, Mira Filzah, dan Sarah Hildebrand.

Bagaimanapun, Adira, 27, yang sering mendapat julukan Queen of Soundtrack itu berkata, bagi babak bersentuhan, dia sebenarnya sekadar memenuhi tuntutan jalan cerita bagi menjayakan muzik video Pujaan Hati.

"Saya cuma ikut skrip dan nak jayakan penggambaran.

"Kalau ikutkan tak perlu pun tapi nak bagi jalan cerita nampak lebih menarik," katanya.

Pujaan Hati mendapat sentuhan komposer Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali manakala lirik hasil kerjasama Ikhwan dengan penerbit drama Pujaan Hati Kanda, Arisz Ab Rahman.

Untuk nota, lagu berkenaan merupakan single pertama Adira sejak dia bernaung di bawah Nova Music Sdn Bhd.

Pada masa sama, kata penyanyi lagu Ombak Rindu itu, dia juga berazam untuk lebih "agresif" membabitkan diri dalam dunia hiburan berbanding sebelum ini.

"Nak adakan banyak persembahan untuk peminat dan mana tahu ada rezeki mungkin sebuah konsert untuk mereka.

"Sebelum ni tak dapat berbuat demikian sebab hamil dan kemudian hamil lagi buat kali kedua," katanya.

Adira mendirikan rumah tangga dengan Adnan Abu atau Datuk Red pada 2015 dan pasangan itu dikurniakan dua anak iaitu Aggrek, 2, dan Assan, 4 bulan.

Lihat Komen