malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Anggota Cranberries akui sukar teruskan band tanpa Dolores
Diterbitkan:  Jan 16, 2019 1:15 PM
Dikemaskini: 5:15 AM
ADS

Genap 12 bulan selepas kematian Dolores O'Riordan, anggota kumpulan Cranberries tampil mendedahkan pengalaman memeritkan terpaksa dilalui sepanjang tahun itu tanpa vokalis mereka.

Anggota Cranberries meluahkan apa terbuku sewaktu mereka diwawancara BBC Radio 2 sempena pelancaran baru All Over Now yang dirakam ketika menggunakan suara Dolores sebelum dia meninggal dunia.

Menurut pemain gitar, Noel Hogan, menyiapkan lagu berkenaan membuatkan mereka berasa pilu.

“Saat paling sukar untuk kami adalah beberapa bulan selepas dia meninggal dunia, ketika itu kami mula mendengar semula demo-demo.

“Pada awal ia memang susah untuk mendengar suara Dolores melalui pembesar suara,” katanya seperti dipetik BBC.

Band itu kehilangan vokalis mereka selepas Dolores ditemui tidak bernyawa ketika dia berada di sebuah bilik di London pada 15 Jan tahun lalu.

All Over Now berkisahkan mengenai keganasan rumah tangga.

Paling menyeramkan, lirik lagu itu menyebut: “Masihkah kamu ingat malam itu semasa di Hotel London?”

Namun, lagu All Over Now sebenarnya meraikan wanita yang berjaya melepasi kitaran keganasan.

Lagu itu belum siap sepenuhnya, bagaimanapun, Cranberries masih mempunyai tuah apabila Dolores hanya meninggalkan satu baris rangkap dan korus untuk diselesaikan anggota bandnya.

Cranberries menjadi kumpulan sensasi sekitar 1990-an selepas Dolores menggantikan Niall Quinn. Selain Dolores, Cranberries juga dianggotai Mike Hogan (bass), Noel Hogan (gitar) dan Fergal Lawler (dram).

Walaupun berdepan saat-saat sukar untuk mengatasi perasaan hiba ekoran kematian Dolores, ahli kumpulan Cranberries masih berjaya menyiapkan seluruh album mereka mengunakan lagu demo yang dirakam pada penghujung 2017.

Diberikan judul In The End, album berkenaan dijangka akan menemui peminat pada April, selepas itu band yang popular dengan lagu-lagu seperti Linger dan Zombie itu nekad akan berpecah.

Noel berharap album In The End akan menjadi legasi ditinggalkan band dan Dolores untuk peminat.

Lihat Komen