Pengiklanan

    DBP tak mahu jadi polis bahasa tapi 'pendakwah'


    (Dikemaskini )

    WAWANCARA | Untuk memastikan keberkesanannya dalam memartabatkan bahasa Melayu, DBP akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk mendapat kuasa mengambil tindakan ke atas pesalah bahasa pada papan-papan tanda yang kini dimiliki oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

    Bagaimanapun kata ketua pengarahnya Abang Sallehuddin Abang Shokeran, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak mahu menjadi polis bahasa sebaliknya lebih bersifat seperti pendakwah yang menanamkan kesedaran kepada pengguna dengan hukuman sebagai langkah terakhir.

    Menurutnya ada beberapa kaedah yang difikirkan sesuai ke arah itu, misalnya meletakkan syarat bahawa nasihat atau pandangan DBP kepada agensi lain mesti dipatuhi.

    Sebagai contoh, kata Abang Sallehuddin, apabila DBP mengeluarkan surat kepada PBT, kerajaan tempatan mesti memberi perhatian berat kepada teguran berkenaan kerana tertakluk kepada undang-undang.

    Katanya kuasa untuk menurunkan papan tanda pada sesuatu premis terletak pada PBT dan bukannya DBP.

    "Kerajaan perlu bagi kuasa kepada DBP untuk boleh menguatkuasakan peraturan-peraturan mengenai bahasa, maknanya teguran DBP wajib dipatuhi.

    "Ia memerlukan pindaan akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959, itu yang sedang kami fikirkan," katanya kepada Malaysiakini.

    Pada masa sama, kata Abang Sallehuddin, DBP juga cenderung untuk menanamkan kesedaran mengenai kepentingan bahasa kebangsaan secara berlembut dan teguran.

    Mengikut kata-kata beliau sendiri, DBP mahu menjadi seperti pendakwah.

    "Kita berminat memberi teguran tapi kita tak nak dilihat masyarakat sebagai dah jadi polis bahasa. Kita nak jadi pendakwah," katanya yang dilantik mengemudi badan itu pada 10 Januari lalu.

    Sebagai contoh, bekas timbalan ketua pengarah bahagian dasar DBP itu menjelaskan tugas "pendakwah" boleh diumpamakan seperti mesej disampaikan khatib pada hari Jumaat.

    Katanya, setiap minggu orang Islam diingatkan supaya menjadi orang yang bertaqwa walaupun bukan semua jemaah yang hadir akan menjadi baik.

    "Dakwah ni kerja yang berterusan sehinggalah ke liang lahad. Konsepnya (yang difikirkan DBP) begitulah," katanya.

    Menurut beliau, DBP mahu menanamkan kesedaran bahawa tanggungjawab memartabatkan bahasa kebangsaan adalah tugas semua pihak.

    "Ia tanggungjawab semua rakyat, maknanya pihak PBT, pengawai kerajaan dan semua orang mesti memberi sokongan.

    "Contohnya yang saya nak tegur, banyak sangat program kerajaan hari ini menggunakan tagline (ayat pikat) bahasa Inggeris," katanya.


    Wawancara 1'Penguasaan bahasa Melayu menteri masih banyak perlu diperbaiki'

    Wawancara 2: Abang Sallehuddin: Ada suara curiga tanda orang sayang DBP


    Wawancara ini turut dijalankan bersama Jimadie Shah Othman dan Suzilawani Mustapha.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih