Pengiklanan

    Abang Sallehuddin: Ada suara curiga tanda orang sayang DBP


    (Dikemaskini )

    WAWANCARA | Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyambut baik reaksi negatif sesetengah pihak terhadap pelantikannya dan menganggap ia petanda positif pada agensi itu.

    Kata Abang Sallehuddin Abang Shokeran, kebimbangan sepatutnya berlaku jika perkembangan DBP tidak dipedulikan orang ramai.

    “Bayangkanlah kalau siapa ketua pengarah DBP tak ada yang kisah.

    "Apabila kerisauan ini (berlaku) kita tahu harapan mereka terhadap DBP sangat besar.

    “Kami akan cuba memenuhi harapan mereka dan terbuka kalau ada cadangan, dan pada masa sama meraikan perbezaan pandangan," katanya kepada Malaysiakini.

    Pelantikan jawatan ketua pengarah DBP selepas BN gagal mendapat mandat rakyat menarik perhatian banyak pihak kerana kedudukannya yang dianggap semakin suram dan tidak relevan.

    Ia adalah jawatan kedua yang menjadi fokus selepas pengerusi DBP diumumkan beberapa bulan lalu.

    Sebelum ini dilihat sebagai badan yang membawa agenda pemerkasaan bahasa, budaya dan sastera, DBP kerap dipersoalkan, terutama selepas jawatan ketua pengarahnya diisi oleh tokoh yang bukan dalam bidang bahasa atau budaya.

    Lebih malang pada ketika tertentu DBP dilihat tidak lebih daripada agensi yang memberi perakuan kepada semua dasar kerajaan walaupun bertentangan dengan dasar bahasa kebangsaan.

    Untuk rekod semalam Malaysiakini menyiarkan luahan penggiat teater dan penulis, Dinsman, yang tidak lagi meletakkan sebarang harapan terhadap DBP ekoran pelantikan Abang Sallehuddin.

    Penjelasan itu dibuat selepas DBP mengisytiharkan Abang Sallehuddin, 57, sebagai ketua pengarah yang baru untuk agensi itu. 

    Dinsman juga mendakwa, Abang Sallehuddin antara individu yang menafikan keberadaannya di DBP selama bertahun-tahun. 

    Terdahulu, Dinsman memuat naik hantaran di Facebook miliknya dengan berkata: “Salam takziah DBP.”

    Mengulas mengenai rungutan komuniti budaya dan sastera, Abang Sallehuddin berkata, beliau sememangnya menghargai setiap kerisauan diluahkan pendukung dan pencinta bahasa seperti Dinsman.

    Menurut beliau, DBP wajib bergerak ke hadapan supaya harapan masyarakat terutama budayawan dan sasterawan tidak dihampakan.

    “Kami menerima pandangan itu dan menghargai kerisauan saudara Disnman. Dinsman memang sayangkan DBP dan dia seorang penjuang budaya.

    “Saya faham kerisauan dia dan tanggungjawab saya pula akan memastikan kerisauannya itu tidak berlaku,” katanya.

    Bagaimanapun, menurut bekas timbalan ketua pengarah (dasar) DBP itu, demi meningkatkan taraf dan kemajuan agensi berkenaan, beliau tidak mampu bergerak bersendirian.

    “Sebab itu kita memerlukan satu pasukan kerja bukan sahaja di DBP tapi mengembelingkan tenaga dan ini termasuklah dengan sahabat-sahabat kita di Seniman Paksi Rakyat dan Dong Zong,” katanya.


    Wawancara ini turut dijalankan bersama Jimadie Shah Othman dan Suzilawani Mustapha.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih