malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
'Penguasaan bahasa Melayu menteri masih banyak perlu diperbaiki'
ADS

WAWANCARA | Di mata ketua pengarah baru Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), masih banyak yang perlu diperbaiki oleh para menteri berhubung kualiti bahasa Melayu mereka.

Kata Abang Sallehuddin Abang Shokeran, daripada tahap terbaik lima bintang, beliau memberikan taraf antara dua hingga tiga bintang saja kepada menteri Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, tahap itu dinilai berhubung penggunaan bahasa Melayu dalam sesebuah sidang media yang diadakan menteri PH.

“Jika saya diminta untuk menilai, mungkin sidang media menteri, boleh kita katakan sekarang ini semua menteri baru.

“Kita beri dua bintang. Dua atau tiga bintang ini dilihat secara umum.

“(Namun) Ada menteri yang berusaha untuk menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik,” katanya ketika ditemui di pejabat DBP di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanapun, melalui pemerhatiannya juga, kata Abang Sallehuddin, 57, tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan ahli parlimen bukan berbangsa Melayu ada yang menunjukkan pencapaian memuaskan.

“Kita melihat satu lonjakan, satu perubahan yang sangat besar oleh beberapa menteri bukan Melayu.

“Mereka begitu fasih dan begitu baik dari segi bahasanya dalam perbahasan di parlimen,” katanya.

Pemantauan di sektor awam

Justeru, dalam memastikan tahap penguasaan bahasa dalam kalangan menteri ditingkatkan, beliau berkata DBP akan menyalurkan teguran dan nasihat melalui pelbagai kaedah.

Menurut Abang Sallehuddin, antaranya, DBP merancang untuk mengadakan sesi mendalami penggunaan bahasa bersama pakar.

Kata beliau, antara kaedah utama adalah sesi santai untuk mereka saling bertukar-tukar fikiran.

“Selain itu, DBP juga akan menggerakkan program bersama-sama ahli parlimen di kawasan masing-masing.

“Secara tak langsung ini akan mengeratkan hubungan apabila kita mengadakan program di kampung.

“Yang langsungnya DBP akan ke parlimen adakan program-program tertentu dengan ahli parlimen selain kita meminta sokongan supaya mereka membantu dalam memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya.

Selain melakukan pemerhatian ke atas menteri dalam sidang media dan di parlimen, Abang Sallehuddin berkata, DBP juga membuat pemantauan bahasa Melayu ke atas sektor awam.

Menurutnya, DBP kini sudah hampir selesai melaksanakan program audit bahasa ke atas 26 jabatan kementerian.

“Penemuan atau dapatan kita dapati dari audit itu menunjukkan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan di kementerian berada di tahap yang baik.

“Kebanyakannya (dapat) empat bintang,” katanya.

Untuk rekod, tugas-tugas dilaksanakan DBP dalam mengaudit Bahasa Melayu mengrakumi dari segi borang, bahasa digunakan untuk melayan tetamu dan bahasa digunakan dalam e-mel.

Awal bulan ini nama Abang Salehuddin Abang Shokeran dicadang oleh panel temu bual DBP sebagai calon mengisi jawatan ketua pengarah selepas beliau mendapat markah keseluruhan tertinggi.

Lembaga Pengelola DBP bersetuju memperakukan cadangan panel tersebut selepas diluluskan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dengan persetujuan Perdana Menteri, Dr Mahahtir Mohamad.

Beliau telah berkhidmat dengan DBP selama 36 tahun dan pernah memegang jawatan pengarah DBP Wilayah Timur, pengarah pengembangan bahasa dan sastera DBP.

Jawatan terakhirnya sebagai timbalan ketua pengarah (dasar) DBP.


Wawancara ini turut dijalankan bersama Jimadie Shah Othman dan Suzilawani Mustapha.

Lihat Komen