malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Dinsman 'berkabung' terima berita KP baru DBP
ADS

Niat kerajaan mahu membawa wajah baru buat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak akan tercapai dengan pelantikan orang dalam bagi menjadi ketua pengarahnya, kata aktivis teater dan penulis, Dinsman.

Beliau yang pernah menjadi kolumnis untuk majalah terbitan DBP itu juga membayangkan kesangsiannya terhadap keupayaan ketua pengarah baru DBP, Abang Sallehuddin Abang Shokeran, membawa pembaharuan ke situ.

Alasannya, bagi Disnman bekas pegawai kanan DBP itulah orang yang bertanggungjawab menafikan dirinya di badan pengembangan bahasa dan sastera berkenaan.

“Dengan lantikan baru itu, saya tidak ada harapan lagi dah, terutama dengan yang di atas (ketua pengarah) tu.

“Dah lama saya putus hubungan dengan DBP.

“Orang yang sekarang menjadi ketua pengarah itulah yang menafikan saya selama bertahun-tahun,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Dinsman atau nama sebenarnya Shamsudin Osman ditanya berhubung hantaran yang dimuat naik sejurus pelantikan ketua pengarah DBP yang baru dibuat baru-baru ini.

Cuma kunci mulut

Status itu berbunyi: “Salam takziah DBP.”

Awal bulan ini nama Abang Salehuddin Abang Shokeran dicadang oleh panel temu bual DBP sebagai calon mengisi jawatan ketua pengarah selepas beliau mendapat markah keseluruhan tertinggi.

Lembaga Pengelola DBP bersetuju memperakukan cadangan panel tersebut selepas diluluskan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dengan persetujuan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad. 

Untuk rekod Dinsman ialah penggerak kumpulan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) yang sebelum ini dilihat rapat dengan Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan.

Seorang tokoh yang rapat dengan Paksi dikatakan menjadi salah seorang calon yang ditemu bual untuk mengisi jawatan ketua pengarah DBP.

Abang Salehuddin sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP dan memangku jawatan Ketua Pengarah sejak Disember tahun lalu.

Sejak bertahun-tahun DBP dilihat kurang bertaring dan bertindak hanya mengikut arus perdana atau kemahuan kerajaan, terutama dalam hal berkaitan dasar bahasa kebangsaan.

Kejayaan PH menawan Putrajaya membawa harapan baru kepada penggiat seni dan budaya untuk melihat DBP tampil lebih tegas dan relevan.


Baca DBP: Kami tak sakit cuma lesu, lelah


Dinsman, 69, berkata selepas pelantikan baru itu, hasratnya untuk mengadakan program Kongres Budaya Sumpah Budaya melalui kerjasama di antara Paksi dan DBP pada 20 April ini dibatalkan.

Sebaliknya kata penulis yang pernah menghasilkan karya Puisi Panjang Untuk Mahathir itu program berkenaan akan diadakan tanpa melibatkan DBP. 

Ditanya siapakah yang layak bagi mengisi kekosongan tersebut selain Abang Salehuddin, Dinsman bagaimanapun berkata, dia lebih selesa mengambil pendirian mengunci mulut.

“Pihak yang itu sepatutnya dah tahu. Saya sudah berjumpa menteri yang berkenaan dan orang berkenaan juga semua dah tahu,” katanya.

Mengulas mengenai perasaannya yang terbuku mengenai DBP, kata Dinsman, semua yang berlaku dalam DBP melambangkan keseluruhan kerajaan sekarang.

“Ini melibatkan soal kerajaan yang berkata nak berubah tapi masih di takuk lama juga. Kalau macam tu tak payah cerita masa hadapanlah.

“Apa berlaku di DBP tu melambangkan keseluruhan kerajaan sekarang,” katanya.

Lihat Komen