Pengiklanan

    Waran tangkap Farid Kamil batal, tapi...

    (Dikemaskini )

    Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini membatalkan waran tangkap ke atas pengarah dan pelakon Farid Kamil Zahari atas ketidakhadirannya bagi perbicaraan kes dadah Jumaat lalu.

    Majistret Nor Ariffin Hisham turut memerintahkan wang jaminan Farid Kamil, 37, dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 selain meminta peguam Megat Syazlee Mokhtarom mengemukakan alasan bagi membatalkan waran tersebut.

    Terdahulu, pihak pembelaan memohon mahkamah membatalkan waran tangkap ke atas suami kepada pelakon Diana Danielle itu kerana tidak hadir pada hari keempat kes itu dibicarakan minggu lalu.

    Megat Syazlee berkata, anak guamnya memohon maaf kerana tidak dapat hadir memandangkan mempunyai urusan di Johor Bahru, Johor.

    "Bagaimanapun, setelah diberitahu, beliau kemudiannya bergegas dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur namun keretanya rosak di Danga Bay, Johor Bahru, Johor pada pukul 4 pagi.

    "Keretanya sudahpun ditunda ke sebuah bengkel di Tampoi, Johor dan beliau dapat dihubungi kira-kira pukul 11 pagi memandangkan bateri telefonnya sudah habis," katanya yang turut mengemukakan resit pembayaran tunda kereta dan gambar kereta Farid Kamil yang rosak kepada mahkamah.

    Pelakon Lagenda Budak Setan itu kemudiannya memohon maaf dan memberitahu dia tidak berniat untuk memperlekehkan masa mahkamah dan sentiasa memberikan komitmen penuh pada perbicaraan sebelum ini.

    Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran memberitahu, tarikh perbicaraan pada 11 Jan itu sememangnya sudah diberitahu sebulan lebih awal dan bukannya secara tiba-tiba seperti yang didakwa sesetengah pihak.

    "Pihak pendakwaan juga tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan tarik balik waran tangkap yang dikeluarkan pihak pembelaan kerana tertuduh hadir pada hari ini," katanya.

    Turut hadir pada prosiding hari ini ialah adik Farid Kamil, Fadzil Zahari dan bapa mereka Dr Zahari Che Dan.

    Pada 25 Jan 2018, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan dadah THC yang juga dadah terdapat pada ganja di Pejabat Narkotik, IPD Petaling Jaya pukul 4.30 petang, 11 Jan tahun lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih