malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Azlan sengaja pilih iklan 'menonjol' untuk promo minuman
ADS

Selepas lama 'hilang' dari radar dunia seni, penyanyi Azlan yang popular dengan kumpulan The Typewriter kini muncul kembali, cuma kali ini dengan lagu baru berserta perniagaan produk minuman.

Namun di sebalik kemunculan baru itu, ada sesuatu yang tidak enak pula timbul berkenaan iklan bagi mempromosi produk berkenaan yang didakwa mampu memberi tenaga tambahan kepada pengguna.

Ia berkaitan paparan klip video iklan minuman tersebut yang menunjukkan sekumpulan penari beraksi diiringi lagu dan ada antara mereka dikatakan memakai pakaian mencolok mata.

Mengulas mengenai klip berkenaan, Azlan mengaku dia memang mempunyai strategi tertentu untuk melariskan produk berkenaan.

"Ya, memang saya sengaja menonjolkan imej wanita seksi dalam klip berkenaan bagi tujuan pemasaran.

"Sebabnya kalau saya yang seksi, siapa pula yang nak tengok? Siapa nak beli air tu?" katanya.

Azlan juga berkata, dia bersedia menghadapi apa saja reaksi daripada netizen kerana menampilkan imej penari yang dianggap tidak sesuai dengan budaya tempatan.

Azlan atau nama penuhnya Nor Azlan Rosle ditemui pada majlis pelancaran Turbo 3 di Kuala Lumpur hari ini.

Pada majlis sama, Azlan juga melancarkan single baru yang dinyanyikan secara solo berjudul Kukuh.

Selain Azlan, lagu iklan produk itu juga menampilkan penyanyi dari Sinegal, King Lhota.

Bagaimanapun, kata Azlan, 36, yang menjual produk berkenaan bermula Oktober tahun lalu, klip berkenaan disiarkan di YouTube saja.

Malah menurutnya, pihaknya mempunyai perancangan untuk memasarkan produk ke luar negara.

Justeru katanya mereka perlu mengambil kira selera masyarakat antarabangsa yang akan menonton iklan berkenaan.

"Saya kena fikirkan pasaran antarabangsa. Di sana imej seksi memang tidak asing bagi mereka," katanya.

Lihat Komen