malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Dengan lagu pun perpaduan boleh diperkemas
ADS

Nur Fazura Sharifuddin yakin kebolehan dua anak Melayu menyanyikan lagu Tamil untuk filem terbaru Rajinikanth boleh menjadi langkah positif memupuk perpaduan dan keharmonian negara.

Bagi penyanyi dan pelakon itu, bakat diketengahkan Mu’adz Dzulkefly dan Azwan Ibrahim yang menyampaikan Ullala sebagai lagu untuk filem Petta dapat mengukuhkan persefahaman masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

“Saya dapati memang ramai penyanyi Malaysia boleh menyanyikan lagu Inggeris, tapi untuk penyanyi Melayu menyanyikan lagu Tamil, itu mungkin jarang berlaku.

“Pada masa sama di media sosial banyak isu perkauman ditimbulkan, dengan dakwaan kita (orang Melayu) tak sokong budaya kaum lain, namun melalui Petta ia menunjukkan realiti sebaliknya,” katanya.

Fazura ditemui pada majlis pengumuman Petta di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini. Dia dijemput menjadi tetamu undangan bagi tujuan membantu mempromosi filem tersebut.

Fazura yang mengagumi keupayaan Mu’adz dan Azwan menyampaikan lagu dalam versi Tamil berkata dia juga memasang impian untuk menyanyikan lagu dalam bahasa lain suatu hari nanti.

Potensi Mu'adz dan Azwan menyampaikan lagu bahasa Tamil mula dikesan selepas mereka mempersembahkan lagu Azhagu melalui Salaam - sebuah kumpulan ditubuhkan untuk projek nasyid - yang menggunakan bahasa Tamil sebagai medium dakwah.

Buat orang tertarik

Lagu itu menjadi tular pada sambutan Hari Malaysia 2013.

Untuk menyampaikan Ullala dengan sebutan lebih lancar, mereka dilatih komposer dan penulis lirik serta skrip popular tanah air, Kavilnayagan Yuwaji, manakala Saran Z bertindak selaku pengarah projek.

Untuk rekod, lagu asal Petta didendangkan penyanyi kelahiran India, Nakash Aziz, bersama penyanyi warga Britain, Inno Genga, sementara lagu digubah komposer muzik terkenal India, Anirudh Ravichander.

Selain Rajinikanth yang membawa watak sebagai warden sekolah, antara barisan pelakon turut menjayakan Petta ialah Nawazuddin Siddiqui, Vijay Sethupathi, Simran, Trisha dan Bobby Simha.

Mu'adz (kiri) dan Azwan

Filem bergenre aksi hasil sentuhan pengarah muda Karthik Subbaraj itu dijangka ditayangkan serentak di seluruh dunia mulai esok sempena sambutan perayaan Ponggal.

Sementara itu, kata Mu’adz, hasil tuaian seseorang penyanyi boleh dianggap 'lumayan' jika mereka berupaya membakar semangat perpaduan.

“Berdasarkan zaman sekarang, jika ada mana-mana penyanyi yang muncul dengan keunikan tersendiri, mereka boleh membuat ramai orang tertarik.

“Justeru, sekiranya kita dapat menyentuh sesuatu komuniti itu dengan nyanyian dan berhasil membentuk perpaduan, maka ‘selesailah’ tugas kita sebagai penyanyi,” katanya.

Mu’adz, penyanyi solo nasyid yang pernah menerbitkan album Rindukan Cahaya pada 2013, manakala Azwan yang menganggotai kumpulan nasyid Far East sudah menghasilkan lapan album setakat ini.

Lihat Komen