malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Air mata Bob Lokman menitis kenang pemergian Adib
Diterbitkan:  Dec 18, 2018 1:06 PM
Dikemaskini: 5:06 AM
ADS

Penulis lirik dan pelakon Bob Lokman antara rakyat Malaysia yang turut tersentuh dengan pemergian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kasim. 

Berkongsi rasa hibanya melalui kenyataan di Facebook, Bob Lokman mengakui air matanya menitis mengenang pemergian Muhammad Adib.

"Walau pun tidak mengenali arwah Muhammad Adib, namun air mata mengalir jua. 

"Bukan menafikan takdir tapi merasakan kematiannya sangat bermakna namun asbabnya menjadikan luka di jiwa," kata penulis lirik Isabella itu.

Dalam kenyataan itu, Bob Lokman turut menyatakan rasa bimbang pada keadaan negara yang "semakin terbiar arahnya".

"Melihat Malaysia semakin hilang warasnya, mendengar Malaysia semakin besar cakapnya, merasa Malaysia semakin terbiar arahnya, menghayati Malaysia yg menggayatkan rasa.

"Sesungguhnya kematian Muhammad Adib akan menjadi rebutan politik, menjadi bahan polemik, menimbulkan sejuta kritik, tetapi akhirnya Muhammad Adib semakin jauh dan kita semakin hampir," katanya.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir 9.41 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN).

Pemuda berumur 24 tahun itu merupaka antara anggota bomba yang ditugaskan mengawal situasi rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.

Bagaimanapun, Muhammad Adib diserang perusuh mengakibatkan beberapa tulang rangkanya patah selain turut mengalami kecederaan dalaman. 

Jenazah Muhammad Adib diterbangkan dengan helikopter MI17-IV milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ke Kampung Tebengau, Kuala Kedah pagi tadi untuk dikebumikan. 

Sementara itu, dalam bermadah, Bob Lokman juga menggambarkan bahawa meskipun kes kematian Muhammad Adib akan terus disiasat dan dibicarakan, hakikatnya, pemuda itu tetap telah terkorban.

"Sedikit hari pendakwa dan peguam berdebat, saksi turut sama bersilat,
hakim memerhati siapa yg mengelat, Adib semakin sampai ke akhirat.

"Bila keputusan dibuat, pemerhati sudah pun penat, amarah juga makin merehat, rakyat terus menjadi rakyat, kerajaan semakin sihat, pilihan raya semakin dekat.

"Sampai bila? Adib, kembalilah kepada Allah dalam redha dan diredhai," katanya.

 

Lihat Komen