malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Tiga kali Farid Kamil pergi balai polis, tapi...
ADS

Farid Kamil Zahari berkata dia terkilan apabila niatnya untuk memberi keterangan mengenai dakwaan ada orang cuba merasuahnya masih belum terlaksana.

Puncanya kata pelakon itu dia gagal bertemu dengan pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditugaskan untuk mengambil keterangannya.

Memberitahu Malaysiakini Farid Kamil berkata setakat ini sudah tiga kali hasratnya tertangguh.

Pelakon dan pengarah itu berkata, kali pertama dia ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk memberi keterangan ialah pada pagi 19 Nov lalu tetap 'misinya' terganggu kerana diminta datang semula 20 Nov jam 3 petang.

“Pada hari Selasa (20 Nov), saya tiba di balai pada jam 2.30 petang, tapi saya dimaklumkan tarikh pertemuan sudah ditukar pula kepada Rabu jam 10 pagi di Balai Polis Kota Damansara,” katanya.

Semalam Farid Kamil ke Balai Polis Kota Damansara lagi. Namun sekali lagi 'jodohnya' dengan pegawai penyiasat terbabit tidak ada.

Kali ini kata Farid Kamil pegawai penyiasat terbabit dikatakan mengalami kecederaan pada kaki.

Harap bertugas profesional

Isu ini bermula apabila Farid Kamil membuat dakwaan terbuka - pada bahawa ada pihak menawarkan habuan bernilai RM5 juta dengan syarat dia memaafkan Najib Razak.

Ketika kejadian Najib masih lagi menjadi perdana menteri.

Farid Kamil membuat dakwaan itu semasa diwawancara stesen TV Al Hijrah.

Ekoran pendedahan itu pada 8 Nov seorang penyokong anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Nor Adam membuat laporan polis berhubung dakwaan Farid Kamil.

Lokman (kiri) semasa menghadiri majlis PAS baru-baru ini

Laporan dibuat selepas Lokman mengesyaki Farid Kamil membuat kenyataan palsu ke atas Najib kerana tidak mengadu kepada SPRM terlebih awal, sebaliknya hanya mendedahkan perkara tersebut selepas BN tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Sehari kemudian Farid Kamil sebaliknya membuat laporan dan memberi keterangan kepada agensi antirasuah negara, SPRM. 

Polis kemudian memberitahu akan memanggil pelakon terbabit untuk diambil keterangannya.

Farid Kamil berharap dia tidak lagi berdepan dengan kesulitan untuk bertemu pegawai penyiasat yang ditugaskan untuk kesnya.

Kata pelakon Anak Halal dan J Revolusi kekeliruan dan kesulitan dialaminya sejak Isnin lalu boleh menjejaskan imej PDRM.

“Saya harap polis lebih profesional dan telus dalam menjalankan tanggungjawab mereka selain tidak membabitkan diri dengan mana-mana ahli politik,” katanya.

Malaysiakini sudah cuba menghubungi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat untuk maklum balas.

Lihat Komen