malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Skim baucar buku: Penerbit bimbang ketirisan
ADS

Beberapa penerbit buku tempatan menyuarakan kebimbangan mengenai pengumuman kerajaan untuk meneruskan bantuan skim baucar buku kepada para pelajar.

Seorang penerbit 'indie', Azlan Husin atau Sinaganaga berkata pihaknya masih menunggu cadangan menteri pendidikan untuk meneruskan skim berkenaan, selain risau mengenai ketirisan.

“Ia tak jelas lagi sebab baru cadangan, jadi kita kena tunggu sehingga ia diadakan kembali.

“Tapi, apa yang kita mahu adalah bentuk baucar dan bukan dalam bentuk kad debit kepada pelajar sebab kalau dalam bentuk baucar kemungkinan berlaku ketirisan sedikit sahaja kalau nak dibandingkan dengan kad debit.

“Kerana kalau dalam bentuk kad debit ini pelajar boleh berbelanja untuk perkara lain, seperti tambah nilai (top up) telefon, pembelian komputer dan sebagainya, itu kebimbangan kita dan kalau ia berlaku ia tidak membantu kita (penerbit) dan industri buku,” katanya.

Bagaimanapun, Sinaganaga berkata pertumbuhan industri buku Malaysia bergantung kepada pembaca dan bukan baucar buku.

“Kita tak kisah pun dengan menteri ini. Kita tak peduli pun dengan kerajaan, cuma bila kita tak ada baucar buku pendapatan kita kuranglah.

“Tapi kita tetap kena bekerja dan yang mana tutup, tutuplah. Yang mana boleh teruskan dia teruskanlah,” katanya kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan penerbit buku indie mengenai skim baucar buku itu.

Jika tiada baucar, penerbit perlu berdikari, mandiri

Semalam, Kementerian Kewangan telah bersetuju dengan saranan supaya skim bantuan baucar buku diteruskan bagi tujuan untuk membantu mengurangkan beban kewangan penuntut institut pengajian tinggi (IPT).

Bahkan, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata perkara tersebut yang dipersetujui semasa mesyuarat kabinet turut mendapat sokongan daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Helmy Samad penerbit karya-karya A Samad Said berkata penerbit buku hari ini harus lebih berdikari.

“Kalau ada bagus, sebab lebih banyak buku akan diterbitkan tapi kalau tak ada kita kena terima dan biasakan dirilah, nak buat macam mana.

“Kita kena mandiri balik, fikir strategi apa semua kalau kita masih nak terbit buku lagilah.

“Cuma mungkin judul atau jumlah buku itu kurang kita kena terimalah situasi tersebut. Kita tengok keadaan semua dengan ekonomi tak bagus pun tak guna juga,” katanya.

Sogokan kerajaan kepada rakyat

Manakala pemilik penerbitan buku Merpati Jingga, Faisal Mustafa berpandangan terdapat pro dan kontra berhubung langkah kerajaan meneruskan skim baucar buku terbabit.

Kata Faisal, selain menggalakkan budaya membaca baucar buku ini juga telah disalahgunakan.

“Dia ada pro dan kontra. Pertamanya, objektif mengadakan baucar buku ini untuk menggalakkan budaya membaca kerana ramai tak mampu untuk tampung kos beli buku.

“Jadi subsidi buku ini diberikan bagi meringankan beban dan galakkan budaya membaca.

“Tetapi dari sudut lain baucar buku ini banyak mendatangkan penyalahgunaan dan penyalahgunaan itu yang secara tidak langsung tidak memberikan faedah kepada kedua-dua pihak seperti penerbit dan mahasiswa dalam objektif awal tadi,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Malah, kata Faisal pemberian baucar buku ini tidak lebih kepada sogokan berterusan kerajaan kepada rakyat.

“Apa yang penting adalah untuk memupuk budaya membaca itu dulu tetapi dengan sogokan wang sebegini sebenarnya terlalu Umno yang mana telah terbukti sejak 60 tahun lalu.

“Sogokan ini lagi melemahkan dan memalaskan sesetengah kaum yang saya rujuk kepada kaum Melayu, yang banyak mendapat subsidi dan kelebihan lain.

“Tapi apa yang penting kalau ia mahu diimplimentasikan balik dia harus dikaji. Tapi bagi saya tak perlu ada pun,” katanya.

Lihat Komen