malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Budaya 'penulis menjilat' memang ada, bukan baru
ADS

‘Budaya menjilat’ dalam kalangan penulis bukan sesuatu yang baru, sikap negatif itu sememangnya merosakkan pertumbuhan industri buku tanah air, kata penulis Uthaya Sankar SB.

Menurut Uthaya, amalan tidak sihat itu wujud ekoran sikap segelintir penulis atau penerbit yang gemar mengharapkan sumbangan pemerintah atau ahli politik tanpa inisiatif sendiri untuk memajukan diri.

“Dalam kalangan penulis wujud kelompok sama ada persatuan atau individu yang tiada pendirian, perkara ini sudah berlaku sejak dulu lagi,” katanya kepada Malaysiakini.

Uthaya turut mempertikaikan di mana pendirian sebenar penulis yang pernah mengagung-agungkan pemerintah lalu tetapi dengan mudah beralih-arah kepada Harapan selepas parti komponen itu menumbangkan BN, 9 Mei lalu.

“Apakah pendirian sebenar penulis yang sepatutnya bertindak sebagai seorang pemikir dalam hal ini?” Soalnya.

Uthaya berkata demikian sebagai mengulas pendirian Faisal Tehrani yang menolak menjadi panel forum Himpunan Penulis Malaysia (HPM) yang dijadual berlangsung 16 November ini di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Menurut Uthaya, dia memahami alasan Faisal dan menyokong pendirian beliau berbuat demikian.

Uthaya juga bersetuju dengan Faisal yang sebelum ini berkata pengarang yang tiada objektif boleh disamakan seperti 'penjilat' atau katanya, mereka juga boleh dirujuk sebagai “carma,” istilah yang digunapakai Sasterawan Negara A Samad Said, membawa maksud cari makan.

Mengulas perkara itu, Uthaya berkata, sikap berani bersuara dilihat sudah semakin berkurangan dalam kalangan penulis tempatan.

“Jika perlu bergantung kepada pemerintah untuk menggerakkan persatuan NGO misalnya pada realiti mereka bukan lagi mewakili penulis tetapi kepada tuan yang beri dana itu.

“Penulis tidak bersikap objektif sedangkan kita mahu mereka ada jati diri, pendirian, dan berani bersuara tetapi kita lihat ini kurang dalam kalangan penulis Malaysia,” katanya.

Ada dekat, ada yang lari dari kekuasaan

Sementara itu, penulis Ronasina berkata, cabang seni sememangnya dimonopoli oleh kaki bodek yang gemar hidup berpuak-puak atau berkelompok.

“Tak semua, tapi memang ada penjilat. Bukan dalam bidang penulisan saja, filem atau kartun juga misalnya.

“Cabang seni memang berpuak-puak, berkelompok dan dekat dengan kekuasaan atau ada juga lari daripada itu,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Mohd Affandi Ramli situasi itu dilihat amat menyakitkan.

“Industri buku kita tak maju mana. Kalau konteks nak majukan industri golongan ini akan fikir dia yang kena dapat dulu bahagiannya dan tak beri peluang kepada orang lain.

“Orang yang lari dari kekuasaan biasanya bagus, tetapi biasanya mereka tidak dicari kerajaan atau badan-badan yang nak majukan dunia itu sendiri contohnya komik, kartun atau sastera,” katanya.

Lihat Komen