malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Mufti: Tajuk 'Isteri untuk disewa' kurang sesuai
Diterbitkan:  Nov 9, 2018 4:51 PM
Dikemaskini: 9:00 AM
ADS

Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad menyatakan kebimbangannya mengenai tajuk drama bersiri Isteri untuk disewa arahan Osman Ali yang disifatkan beliau sebagai "kurang sesuai."

"Tajuk drama ini; Isteri untuk disewa jika difahami secara zahir merupakan suatu perkara yang amat bertentangan dengan zahir nas al-Qur’an dan Sunnah.

"Begitu juga dengan moraliti kehidupan manusia samada Islam mahupun bukan Islam.

"Tanpa menafikan kebebasan berkarya dalam budaya penggiat seni, kami merasakan bahawa tajuk berkenaan adalah kurang sesuai. Alasan kami jelas, isteri bukan untuk disewa," jelas Dr Zulkifli dalam ruangan Qalam Mufti #17, terbitan Pejabat Mufti Wilayah.

Mengulas lanjut, mufti berkata di dalam Islam isteri merupakan amanah Allah kepada suami untuk dimuliakan dan diberikan hak-haknya.

Bukan amalan Islam pinjam isteri

"Dalam Islam, isteri tidak boleh dikontrakkan sama ada dalam tempoh jam, hari, minggu atau bulan. 

"Meminjam isteri bukanlah amalan dalam Islam, begitu juga menyewa isteri.

"Isteri adalah amanah Allah kepada suami untuk dimuliakan, dikasihi, disayangi dan diberi hak-haknya," katanya.

Zulkifli dalam tulisannya juga mengucapkan syabas atas kejayaan produksi drama terbitan produksi Nuansa Sdn Bhd menarik tontonan ramai.

"Syabas dan tahniah diucapkan kepada wargakerja drama Isteri Untuk Disewa atas kejayaan menarik jutaan penonton bagi menonton drama ini.

"Kami menganggap pengarah mungkin terkhilaf dalam menentukan tajuk dan jalan cerita drama tersebut yang khabarnya diadaptasi daripada sebuah novel," katanya lagi.

Tiada benci, kasih semata-mata

Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak berhasrat menyekat kebebasan berkarya produksi tersebut, malahan berkata, "tidak ada langsung secebis rasa benci dan marah melainkan kasih semata-mata."

"Sekali lagi ditegaskan bahawa kami sama sekali tidak berhasrat untuk menyekat kebebasan dan kreativiti dalam berkarya.

“Dinding antara seni dan agama wajar dipecahkan bagi mengangkat budaya dan faham seni yang berkualiti serta berdaya saing.

"Kami mengambil kesempatan memohon maaf atas kenyataan terbuka ini. Maaf sekiranya kenyataan ini mengguris hati mana-mana pihak," jelasnya.

Drama yang menggandingkan pelakon Fattah Amin dan Tiz Zaqyah ini merupakan saduran semula daripada karya asal novel "Isteri Untuk Disewa" tulisan Syamnuriezmil. 

Lihat Komen