malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Di mana letaknya seni filem dalam Belanjawan 2019?
ADS

ULASAN | Harapan tinggi karyawan filem Malaysia kepada kerajaan baru Malaysia sempena pengumuman belanjawan baru-baru ini berakhir dengan lebih banyak pertanyaan berbanding jawapan.

Apakah kita sedang berada di jalan betul iaitu untuk membangunkan industri media dan kandungan kreatif kita, atau kita sedang berada di persimpangan lain?

Dengan peruntukan RM100 juta yang disalurkan kepada Khazanah Nasional bagi produksi yang menggunakan Studio Pinewood di Johor, dan peruntukan RM30 juta yang barangkali disalurkan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), dapatlah dibayangkan keutamaan kerajaan hari ini yang mungkin dikekang oleh keadaan kewangan semasa.

Namun, satu pertanyaan timbul. Apakah dana yang disalurkan melalui Khazanah dan Pinewood Studio itu hanya berupa fasiliti studio sahaja atau lain-lain?

Tidak ada siapa yang boleh menjawabnya pada masa ini. Tetapi, jika pembiayaan itu hanya dalam bentuk fasiliti atau penggunaan studio tentulah dana tersebut sebenarnya dibayar kepada Khazanah sendiri sebagai pemilik studio tersebut. Dana tidak diterima oleh penerbit.

Barangkali ini salah satu cara kerajaan untuk mengawal ketirisan, dan mungkin ianya langkah yang baik.

Namun perlu disedari sebahagian besar penerbitan filem di Malaysia tidak menggunakan studio sebagai lokasi penggambaran.

Produksi filem di Malaysia banyak menggunakan lokasi praktikal (practical location), termasuk bagi produksi yang menggunakan teknologi layar biru (blue screen) dan imej janaan komputer (CGI).

Tambahan lagi studio sound stage Finas di Hulu Klang dan Kuala Lumpur juga tidak digunakan sebagai lokasi penggambaran filem tempatan.

Kita berharap bukan itu sahaja sumber dana bagi membangunkan industri yang amat berdaya saing ini, yang menurut kajian terkini bernilai sekitar RM3 bilion.

Pertanyaan besar berkaitan Belanjawan 2019 itu ialah, di bahagian mana daripada peruntukan itu dikhususkan kepada generasi muda, khususnya penggiat muda yang baru menamatkan pengajian atau bakal menamatkan pengajian?

Sekiranya negara sekecil Singapura dapat menyediakan dana khusus - yang dipanggil New Talents Feature Grant - saya percaya Malaysia tentu boleh melakukan lebih daripada itu.

Seyogia diingat, pada masa ini Malaysia melahirkan antara 700 ke 1,000 graduan dari 19 IPTA dan 25 IPTS yang menawarkan program perfileman, televisyen, multimedia dan animasi saban tahun.

Menyediakan laluan jelas kepada mereka yang menjadi sumber tenaga masa hadapan bidang ini amatlah penting bagi negara.

Beberapa kaedah untuk menentukan agar sumber dana berterusan - barangkali melalui cukai hiburan yang dikenakan atau dinaikkan, khusus kepada filem-filem luar misalnya - mungkin dapat menyumbang kepada industri ini agar berdikari melalui tabung Dana Pembangunan Filem Nasional yang diwujudkan.


DR MAHAJI J MURAT ialah pembikin filem yang pernah memenangi anugerah, pensyarah perfileman, teknologi kreatif dan kebudayaan di UM, UiTM, UIA dan beberapa universiti swasta lain. Beliau juga presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia, presiden dan pengasas Persatuan Sutradara Malaysia, dan bekas Ketua Jabatan Produksi dan Komisining, Astro.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen