malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pupuk perpaduan, keharmonian melalui festival
Diterbitkan:  Oct 21, 2018 12:31 PM
Dikemaskini: 4:35 AM
ADS

Freedom Festival 2018 yang bakal berlangsung pada 3 November ini memasang matlamat yang sedikit berbeza.

Selain menghiburkan orang ramai, tentunya, ia juga diadakan dengan matlamat memupuk perpaduan dan keharmonian yang dinikmati di negara ini.

Penganjurnya BSYNCLIVE berkata acara itu mahu menghimpunkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

“Kami sentiasa percaya rakyat Malaysia ada kebebasan untuk meraikan perpaduan tidak kira dalam apa jua bentuk sekali pun.

“Menerusi penganjuran Freedom Festival ini, kami sangat berharap agar pengunjung yang datang dapat menikmati acara yang disediakan tidak kira muzik, makanan, gerai jualan dan pameran.

"Pada masa sama dapat merasai nikmatnya perpaduan antara semua bangsa," kata jurucakap BSYNCLIVE Adam Sofian.

Ia akan diadakan di Bandar Malaysia, Sungai Besi, dan tidak akan mengenakan sebarang bayaran.

Freedom Festival menyediakan bazar produk tempatan, pesta makanan, pameran seni, karya grafiti dan pameran pesawat udara.

Konsert pula akan diadakan pada sebelah malam dengan barisan artis antaranya Hujan, Datuk Zainal Abidin, Kugiran Masdo, Reshmonu, DJ Blink dan Ryot Jones.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menjadi penaung acara manakala Pertubuhan Prihatin Harapan Insan sebagai NGO rasmi.

Jarang sekali Bandar Malaysia dipilih sebagai lokasi acara seumpama ini, tetapi bagi BSYNCLIVE ia merupakan satu pilihan tepat.

Seorang lagi jurucakapnya Shamil Yusof berkata, ia merupakan lokasi ikonik buat rakyat Malaysia kerana ia merupakan lapangan terbang pertama yang dibina.

"Bandar Malaysia mempunyai nilai sentimental sebab di sini terdapatnya kapal terbang tertua negara iaitu Rajawali yang mempunyai sejarah besar untuk negara. Ia juga akan dibuka kepada pengunjung pada hari itu.

“Malah di sini ada pelbagai kemudahan mesra acara yang akan memudahkan perjalanan festival itu berlangsung sepanjang hari,” katanya.

Mensasarkan kehadiran 50,000 pengunjung, penganjur akan menyediakan perkhidmatan bas ulang alik dari Pasar Seni ke lokasi.

Lihat Komen