malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Aishah tekad cari penyanyi berbakat semula jadi
ADS

Dilamar menjadi juri program When Music Speaks, Aishah akui dia memikul tanggungjawab besar untuk menilai bakat baru dengan kebolehan menyanyi semula jadi untuk diketengahkan.

Dengan satu azam, dia tekad untuk mendidik pasaran dan khalayak yang menurutnya kini lebih cenderung untuk memilih penyanyi bersandarkan paras rupa.

Kata Aishah yang mula dikenali sejak era 1980-an, kelebihan fizikal tanpa bakat semula jadi tidak memadai untuk bertahan dalam bidang seni suara.

"Ada orang tak tahu membezakan mana satu bakat yang asli dan mana satu yang tular dan popular. Penyanyi yang popular tidak semestinya betul-betul berbakat.

"Sebab itu saya terima tugas menjadi juri, untuk mendidik apa itu erti bakat sebenar. Kalau nak yang cantik, tengok saja ratu cantik atau model," katanya yang popular dengan lagu Janji Manismu.

Aishah, atau nama penuhnya Wan Aishah Wan Ariffin, berkata demikian ketika ditemui di sidang media pengumuman program mencari bakat baru When Music Speaks di Bandar Utama, Petaling Jaya semalam.

Program itu menyasarkan peserta berusia antara 16 hingga 25 tahun. Selain Malaysia, program itu juga mencari peserta dari Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina.

Sesi uji bakat pertama akan diadakan pada 4 November depan dan akan turut disertai seorang lagi juri iaitu penyanyi Man Bai.

Aishah dan Man Bai akan mengendalikan uji bakat saringan pertama, manakala sesi seterusnya akan melibatkan juri lain.

Kemudian sepuluh peserta terbaik akan dipilih untuk digilap bakat sebagai penyanyi profesional. Antara hadiah yang ditawarkan adalah peluang merakam single dan kontrak bersama syarikat rakaman NAR Records.

Mengulas lanjut, Aishah berkata perlu ada keseimbangan antara penyanyi berbakat semula jadi dengan yang popular semata-mata, bagi mengelakkan kebanjiran penghibur tidak berkualiti.

"Memang kita boleh menyanyi menggunakan mesin atau miming tetapi apabila buat persembahan secara langsung nanti (pendengar) sakit telinga.

"Dari sudut kecantikan tiada masalah (kerana) boleh diubah, tetapi bakat tak boleh dibuat-buat, ia harus asli.

"Kita kena ubah sebab kalau tidak, boleh jahanam bidang muzik ini," katanya lagi.

Lihat Komen