malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ada cubaan selesaikan isu Aishah, Vida di luar mahkamah
ADS

Selepas berakhir tempoh yang diberikan Aishah buat Datuk Seri Vida supaya kemelut di antara mereka diselesaikan, usahawan kosmetik itu dilaporkan menghantar peguamnya untuk berbincang.

Tujuannya, pihak terbabit cuba mencari jalan agar perselisihan faham berkenaan tidak perlu berlarutan sehingga terpaksa menjengah mahkamah.

Peguam Aishah, Mohammad Izwan Azmi, berkata wakil usahawan kosmetik itu sudah menghubungi penyanyi terbabit baru-baru ini.

“Selepas tempoh tujuh hari diberikan Aishah berakhir, peguam Vida ada berhubung dan mencadangkan beberapa jalan untuk dipertimbangkan Aishah.

“Bagaimanapun setakat ini kami masih belum memuktamadkan terma-terma yang akan diberikan, malah perkara ini belum pasti diselesaikan di luar mahkamah.

"Ia masih di peringkat perbincangan,” katanya kepada Malaysiakini.

Isu pertikaian berkenaan berlaku apabila Aishah mendedahkan dia tidak mendapat hadiah seperti yang dijanjikan oleh Vida selepas muncul sebagai juara Gegar Vaganza 4 (GV4) tahun lalu.

Aishah ada hak tuntut

Untuk rekod Vida ialah penaja utama program yang mempertaruhkan kemampuan artis mengadakan persembahan secara langsung di depan juri profesional.

Ia dianjurkan stesen TV berbayar, Astro.

Pada 5 Oktober lalu, Aishah menuntut Vida - atau nama sebenarnya Hasmiza Othman - untuk memenuhi dua perkara jika mahu pertikaian mereka diselesaikan secara baik.

Dua tuntutan itu ialah Vida dikehendaki memberi seutas rantai berlian asli dengan nilai setara RM80,000 seperti dihebohkan semasa GV4, selain membuat permohonan maaf.

Sebagai juara, Aishah dijanjikan membawa pulang wang RM100,000, sebidang tanah lot banglo dan pakej percutian ke Eropah Timur.

Tidak ketinggalan, hadiah barangan kemas sumbangan DSV Gold Jewellery milik Vida.

Bagaimanapun, Aishah mendapati barang kemas yang diumumkan bernilai RM80,000 di atas pentas semasa GV4 berlangsung bukanlah tulen.

Ahli perniagaan itu pada 9 Oktober lalu pula menuntut tiga perkara daripada penyanyi Janji Manismu itu.

Tiga perkara yang perlu dipenuhi Aishah - juga dalam tempoh tujuh hari - itu adalah penyanyi terbabit perlu membuat permohonan maaf secara terbuka, bersemuka dengan Vida dan memadam semua kenyataan dimuat naik di media sosial berhubung berlian palsu berkenaan.

Sementara itu, menurut Mohammad Izwan, Aishah tidak sesekali akan berganjak daripada pendiriannya sebelum ini untuk menuntut Vida memenuhi tiga tuntutannya sebelum ini.

“Dan mengenai terma diberikan Vida, sekiranya Aishah tidak bersetuju, kami akan teruskan dengan tindakan mahkamah,” katanya.

Sementara itu, mengulas kewajaran isu terbabit dibawa ke mahkamah kerana ia melibatkan pertikaian hadiah sampingan, Mohammad Izwan berkata, Aishah berhak menuntut haknya.

“Dari segi undang-undang, Aishah berhak tuntut hak dia berdasarkan representasi dibuat yang menyatakan rantai berlian itu bernilai RM80,000.

“Isu penting adalah karekteristik batu berkenaan dan Aishah telah mendapatkan laporan pakar yang menyatakan batu itu bukan berlian. Kita ada representasi salah dan Aishah ada hak ke atas itu," katanya.

Namun kata Mohammad Izwan pihaknya tidak dapat memberikan perincian lanjut untuk sementara waktu.

"Kami mahu mengelakkan wujud konflik jika isu ini akhirnya dibawa ke mahkamah,” katanya yang turut memberi bayangan sidang media bakal diadakan Aishah pada masa terdekat.

Lihat Komen