malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Seriuslah kita untuk menjadi kreatif ?

Dunia telah memasuki era global. Semua elemen berintegrasi secara kolektif.

Sebagai contoh, Kementerian Bel ia dan Sukan. Ia tidak dapat mengurus pembangunan sukan yang lengkap dan menyeluruh tanpa dukungan elemen dan kepakaran tertentu dari bidang atau agensi lain.

Selain teknologi, bidang sukan juga memerlukan sokongan agensi yang menguruskan hal ehwal pendidikan.

Ini kerana bimbingan dan asuhan bakat kesukanan perlu dipupuk dari usia kanak-kanak dan remaja.

Malah ia memerlukan adunan silibus pelajaran yang sesuai agar bakat remaja dapat digilap dan pada masa yang sama, bakat itu mempunyai pengetahuan yang sempurna.

Bermakna, hari ini kita memerlukan elemen yang membolehkan dasar diintegrasikan menyeluruh antara bidang dan entiti demi mencapai objektif yang ditetapkan.

Hari ini kita memasuki dunia yang lebih baru, apa yang dipanggil Revolusi Industri 4.0. Sebuah dunia dengan budaya kerja dan hidup yang canggih.

Revolusi Industri 4.0 berasaskan pengetahuan dan teknologi pintar meliputi kejuruteraan elektronik, kejuruteraan genetik dan neuroteknologi.

Namun, pintar, hebat dan secekap mana pun teknologi ini, ia tak akan dapat dikuasai tanpa adanya daya kreativiti manusia. Justeru, kreativiti adalah elemen penting kepada Revolusi Industi 4.0 ini.

Kreativiti bukan lagi hanya berlingkar kepada kerja seni semata-mata, ia sudah menjadi konsep penyelesaian masalah dalam pekerjaan dan kehidupan.

Di San Diego, Amerika Syarikat, mereka menggunakan daya kreativiti untuk membantu kumpulan gelandangan. Gelandangan ini dibayar untuk sampah yang dikutip.

Misi dan objektifnya mudah, bandar akan bersih dan gelandangan mendapat upah untuk meneruskan hidup.

Dengan upah itu diharapkan mereka berupaya untuk membina dan keluar dari kehidupan gelandangan suatu hari kelak.

Di Kenya, The Shoe That Grows, satu idea mudah dan ringkas – kasut yang dicipta boleh dibesarkan sehingga lima kali saiz asal.

Ini membolehkan kanak-kanak miskin menggunakan kasut tersebut untuk tempoh masa yang lebih lama tanpa perlu risau untuk kerap menukarnya.

Penyelesaian dan pendekatan kreatif cukup banyak akhir-akhir ini. Ia adalah konsep yang mencakupi hal ehwal pengurusan, keselamatan, kemiskinan, kebajikan, masalah sisa pepejal dan segala macam keperluan hidup.

Statistik hanyalah abjad

Kesemua ini memerlukan daya kreativiti dan imaginasi. Laporan dan statistik hanyalah abjad dan nombor yang dikumpul sebagai rekod atau laporan.

Ia hanya bermanfaat apabila manusia mempunyai idea dan menghasilkan kaedah penyelesaian.

Perkataan mahupun istilah kreatif bagi masyarakat di Malaysia umumnya masih terhad kepada kerja-kerja golongan seniman atau karyawan sebagai hasil seni budaya dan produk jualan sahaja.

Kita belum berupaya melihat kerja melukis adalah kerja asas yang dapat membentuk daya kreativiti seseorang.

Malah masih ada ibu bapa yang tidak menggalakkan anak-anaknya memilih bidang seni lukis.

Begitu juga dengan kerja politik, ramai di kalangan mereka tidak dapat melihat bahawa kerja-kerja politik juga memerlukan pengetahuan dalam kerja-kerja kreatif dan imaginatif untuk menjual dasar-dasar awam mereka.

Mereka masih percaya bulat-bulat kepada akauntan untuk menghasilkan formula membeli hati rakyat.

Kita sering mengambil tafsiran kreatif secara selektif berdasar sentimen politik.

Contohnya, ramai di kalangan kita yang masih melihat industri kreatif Hollywood secara cetek dan selektif iaitu sebagai penternak masalah moral yang melingkari isu-isu halal haram dan penjajahan budaya.

Sedangkan, pelabur dan penerbit filem di Hollywood melihat filem sebagai sebahagian daripada kerja-kerja imaginasi, sains fiksyen dan intelektual yang boleh menjadi inspirasi kepada penghasilan produk berteknologi.

Beberapa contoh bagaimana kerja-kerja kreatif dan fiksyen ini memberi inspirasi, antaranya teknologi roket yang terinspirasi daripada novel War of The Worlds 1898 karya HG Wells, telefon bimbit (Star Trek tahun 70-an ) dan aplikasi QuickTime yang diinspirasikan juga daripada Star Trek - The Next Generation.

Kita belum berjaya mengungkapkan kreativiti kepada ruang yang lebih luas. Kita tak dapat melihat kreativiti sebagai inspirasi dan kaedah penyelesaian kepada masalah ekonomi, rasuah, pekerjaan, keselamatan, politik dan pendidikan.

Kita mengehadkan bakat dan pandangan kita. Kita belum pernah serius bicara soal kreatif, sebelum mahupun hari ini. Tapi kita tahu bahawa kita adalah bangsa yang kreatif.


MAHDZIR IBRAHIM seorang pelukis yang berpolitik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen