malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ellie tak rela bergelumang dosa 'bunuh saudara sendiri'
Diterbitkan:  Oct 10, 2018 2:42 PM
Dikemaskini: 6:49 AM
ADS

Ellie Suriati berang apabila ada pihak mendakwa air mata yang ditumpahkannya di mahkamah baru-baru ini bukan tulen sebaliknya dibayar.

Sebaliknya kata pelakon dan pengarah itu, dia memang benar-benar menangis semasa melihat bekas perdana menteri Datuk Seri Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor didakwa di mahkamah.

“Kamu sedang bermain persepsi mempropagandakan situasi saya melalui posting kamu. Fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh saudara.

"Kamu tak peduli masalah yang melanda agama, bangsa dan negara tak apa, itu pilihan kamu.

“Tapi kamu memfitnah, mencemuh, mengejek saya, itu merupakan satu bentuk sikap yang tidak bermaruah dari seseorang yang langsung tidak berbuat apa-apa tatkala agama kamu dihinjak-hinjak dan bangsa kamu dipijak-pijak,” katanya di Instagram.

Perjuangan bukan berlandas wang ringgit

Seorang individu mengulas aksi Ellie dalam rakaman video disiarkan Malaysiakini pada 4 Oktober lalu berjudul "Air mata Ellie gugur lihat Najib, Rosmah di mahkamah.

“Mereka semua dibayar sepenuhnya. Maharajalawak pun kalah,” komen individu terbabit pada hantaran di Facebook miliknya.

Menjelaskan lebih lanjut, Ellie berkata, dia mempunyai sebab-sebab yang kukuh mengapa masih mempercayai dan menyokong Najib yang dianggapnya sebagai pemimpin berjiwa rakyat.

Menurut Ellie, perjuangan itu bukan berlandaskan wang ringgit.

“Apakah segala-galanya berpaksi pada wang ringgit semata-mata? Apakah pengorbanan bukan sesuatu yang bersifat mulia? Apa yang 'Maharajalawak'nya?” Soalnya.

Justeru, Ellie mengajak rakyat yang prihatin tampil berani menyertai perhimpunan bagi membela masa depan negara dan bukannya setakat lantang di media sosial.

Ellie turut menggesa mereka yang sering mengeluarkan kata-kata kecaman di alam maya untuk bercakap demi untuk rakyat sekiranya benar-benar cintakan tanah air.

“Kalau kamu ambil berat tentang negara kamu dan segala isi yang makin rosak di dalamnya. Jom!

"Apabila ada perhimpunan rakyat untuk membela nasib rakyat yang ditipu semasa Pilihan Raya Umum-14 kerana semata-mata untuk mengaut undi rakyat.

“Jom turun dan keluarkan kata-kata kamu itu untuk membela rakyat! Kamu tak perlu jadi seperti saya yang mencabar kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN), tapi pergi ke perhimpunan untuk membela nasib rakyat yang makin ditindas ni!

“Bercakap untuk perpaduan bangsa yang makin meruncing di bawah tekanan DAP terhadap bangsa Melayu di dalam kerajaan HARAPAN.

“Jangan sesuka hati kamu mencampak persepsi untuk mempropagandakan ketulusan dan niat baik saya dalam perjuangan akar umbi!” katanya.

Lihat Komen