Berita tentang pelakon Michelle Yeoh yang bakal menjadi pengeluar bersama filem berdasarkan buku Billion Dolar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World terus mendapat kritikan.
Selepas Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel, kartunis Zunar turut membangkitkan sokongan Yeoh kepada Datuk Seri Najib Razak - yang terkait dengan skandal 1MDB - sebelum kekalahan BN pada PRU lalu.
Dan sekali lagi pelakon antarabangsa itu disifatkan sebagai 'oportunis' dan menurut Zunar seorang yang "menyokong kawan ketika berkuasa dan memijaknya setelah kalah".
Zunar, atau nama penuhnya Zulkiflee Anwar ul-Haque, mendakwa ketika PRU ke-13 Yeoh secara terbuka meminta orang ramai memberikan sokongan kepada Najib.
"Sekarang selepas Najib kalah, dia umum akan keluarkan filem yang membongkar isu 1MDB - skandal yuang mengaitkan Najib.
"Dalam beberapa bulan saja kilauan kuasa dan wang boleh mengubah segalanya?" soalnya dalam kenyataan hari ini.
Sokongan Yeoh terhadap Najib bukanlah perkara baru apabila memuji Najib pada 2013 sebagai seorang pemimpin yang banyak memberi kebaikan kepada rakyat.
“Dari lubuk hati saya, saya harap beliau akan kekal sebagai perdana menteri dan saya harap kamu dapat berikan mandat kukuh padanya,” kata Yeoh ketika itu.
Baca: S'wak Report juga hentam Michelle Yeoh
Mengulas lanjut, Zunar membandingkan sikap itu dengan pelakon Ellie Suriati yang sebelum ini mendapat perhatian selepas lantang membela Najib ketika bekas perdana menteri itu didakwa di mahkamah.
"Saya hormat Ellie yang tetap menyokong Najib walau selepas kalah. Saya tak setuju dengan pendangnnya tetapi dia menunjukkan setiakawan dalam susah dan senang.
"Negara ini tidak akan maju kalau lahirkan ramai orang yang tak punya prinsip seperti Yeoh. Ellie seribu kali lebih berkualiti daripada Michelle Yeoh," katanya lagi.