malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ras Adiba: Timbalan menteri sudah mohon maaf
Diterbitkan:  Aug 17, 2018 12:57 PM
Dikemaskini: 5:09 AM
ADS

Ras Adiba Radzi telah bertemu dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Ini susulan cadangan penggunaan tandas orang kurang upaya (OKU) oleh golongan mak nyah.

Bekas personaliti TV3 itu menceritakan pertemuan yang dipercayai berlaku semalam itu memakan masa selama sejam setengah.

Ras Adiba malah mendakwa anggota Parlimen Kuantan itu sudah memohon maaf serta bersimpati terhadap keluh-kesah terpaksa dilalui golongan OKU.

“Syukur alhamdulillah YB Fuziah Salleh telah sudi menjemput kami untuk menerangkan mengapa beliau beberapa hari lalu mencadangkan LGBT mengunakan tandas OKU untuk keselamatan mereka.

“Dalam mesyuarat selama sejam setengah itu, kami mengutarakan bantahan dan pendirian kami beserta pengalaman berkenaan isu tandas.

“YB Fuziah meminta maaf dan amat bersimpati mendengar pelbagai kesukaran yang warga OKU lalui,” katanya di Instagram.

 

PERHATIAN SAHABAT OKU SEMUA. Syukur Alhamdulillah YB Fuziah Salleh telah sudi menjemput kami untuk menerangkan mengapa beliau beberapa hari lalu, mencadangkan LGBT mengunakan tandas OKU untuk keselamatan mereka. Dalam mesyuarat selama sejam setengah itu, kami mengutarakan BANTAHAN dan pendirian kami beserta pengalaman berkenaan isu tandas. YB Fuziah MEMINTA MAAF dan amat bersimpati mendengar pelbagai kesukaran yang warga OKU lalui. Setelah mendengar pandangan kami, beliau lebih faham mengapa kami membantah. YB Fuziah mengakhiri perjumpaan dengan mengatakan bahawa pihak beliau akan mencari alternatif lain menangani isu ini. Kami juga antara lain turut menbincangkan beberapa perkara berkaitan kemudahan OKU di tempat-tempat ibadah, dan program-program pendidikan. Terimakasih kami yang tidak terhingga kepada YB Fuziah serta barisan sahabat-sahabat kita terdiri daripada En.Ilias Yaakop, En.Ahmad Kerp Daniel, En.Miskan Kasiman, Dr. Ruziah, Dr. Aizan Sofia, En.Murugeswaran, yang telah sama untuk menyelesaikan isu ini. HARAP MAKLUM.

A post shared by Ras Adiba Radzi (@rasadibaradzi) on

Dua hari lalu Ras Adiba - yang menggunakan kerusi roda - tampil mengulas kenyataan dibuat Fuziah mengenai kemudahan terhadap golongan transgender yang mengadu berdepan masalah apabila mahu menggunakan tandas.

Melalui surat terbuka kepada Fuziah, Ras Adiba menggesa beliau memohon maaf kerana beranggapan saranan dibuatnya ibarat menambah lagi bebanan yang sedia ada dipikul mereka.

“Tahukah YB bahawa tandas kami sering disalahgunakan orang bukan OKU, juga untuk merokok, dijadikan bilik stor atau tempat rehat pekerja pembersihan?” katanya.

Kenyataan Ras Adiba mengenai bantahan perkongsian tandas itu merujuk kepada kumpulan LBGT secara keseluruhan, dan isu penggunaan tandas yang dibincangkan sebelum ini lebih merujuk kepada komuniti transgender.

Ras Adiba ialah pengasas serta pengerusi Persatuan OKU Sentral, NGO untuk membantu orang kurang upaya.

Selain Fuziah, surat Ras Adiba turut ditujukan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Hannah Yeoh.

Malaysiakini pada 13 Ogos lalu melaporkan Fuziah, naib presiden PKR, meminta masyarakat melihat masalah golongan transgender secara menyeluruh.

Fuziah menyarankan buat masa ini mungkin golongan transgender boleh menggunakan tandas OKU jika mereka tidak selesa menggunakan tandas lelaki.

Pada akhir pertemuan itu kata Ras Adiba, Fuziah berjanji untuk mencari jalan penyelesaian dirasakan terbaik bagi menangani isu berkenaan.

“Setelah mendengar pandangan kami, beliau lebih faham mengapa kami membantah,” katanya.

Selain isu tandas kata Ras Adiba, perbincangan turut menyentuh topik lain yang dirasakan dapat meringankan bebanan dipikul golongan OKU seperti kemudahan di tempat ibadah dan program-program pendidikan.

Malaysiakini masih cuba mendapatkan reaksi daripada Fuziah berkenaan pertemuan berkenaan.

Lihat Komen