malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Obama kongsi rasa sentuh hati buat ratu irama soul
Diterbitkan:  Aug 17, 2018 11:29 AM
Dikemaskini: 3:36 AM
ADS

Bekas presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama dan isteri Michelle antara peminat yang memberi penghormatan terakhir kepada Ratu Irama Soul Aretha Franklin yang meninggal dunia malam tadi.

Melalui ciapan beliau di Twitter, Obama mengucapkan penghargaan buat ikon muzik yang popular dengan lagu Respect dan (You Make Me Feel Like) a Natural Woman itu.

“Aretha membantu menentukan pengalaman sebagai rakyat Amerika. Melalui suaranya, kita dapat merasakan semua sisi sejarah - kuasa dan kesedihan kita, kegelapan dan kegembiraan kita, usaha kita untuk diselamatkan dan perjuangan untuk mendapatkan penghormatan."

“Semoga ratu irama soul berehat dalam kedamaian yang kekal,” tulisnya.

Obama turut memuat naik beberapa gambar yang dirakam ketika bersama Aretha selama di Twitter.

Sementara itu, satu kenyataan juga dikeluarkan dari ibu pejabat Obama.

“Amerika tidak mempunyai raja (merujuk kepada gelaran ratu irama soul). Tetapi kami mempunyai peluang untuk mendapatkan sesuatu yang lebih kekal.

Persembahan pelantikan presiden

“Dilahirkan di Memphis dan dibesarkan di Detroit, Aretha Franklin membesar menjadi penyanyi lagu-lagu Kristian sewaktu bersama jemaah bapanya,” menurut kenyataan itu.

Aretha sebenarnya mempunyai hubungan istimewa dengan pasangan Obama sejak bertahun-tahun.

Ratu irama soul itu juga pernah membuat persembahan sewaktu pelantikan Obama sebagai presiden AS pada Januari 2009.

“Dia membantu kita berasa lebih rapat antara satu sama lain, lebih banyak harapan, lebih kemanusiaan. Kadang-kala dia membantu kita untuk melupakan semuanya dan membuat kita menari.

“Aretha mungkin telah pergi ke suatu tempat yang lebih baik, tetapi pemberian muziknya kekal menjadi inspirasi kepada kita semua.

"Michelle dan saya mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga Aretha dan semua yang tersentuh dengan lagu-lagunya," kata kenyataan pejabat Obama itu lagi.

Aretha menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun di sisi anggota keluarga di kediamannya di Detroit selepas bertarung dengan kanser pankreas sejak sekian lama.

Lihat Komen