malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Aweera undur diri, Prime Domestic rahsiakan pengganti
Diterbitkan:  Aug 15, 2018 9:41 PM
Dikemaskini: 1:45 PM
ADS

Kumpulan Prime Domestic sudah pun mempunyai vokalis baru bagi menggantikan Aweera yang keluar sebulan lalu.

"Kita sudah ada pengganti Aweera. Namun buat masa ini biarlah kami merahsiakannya dulu," kata pengurus Prime Domestic Noh Abdul Rahman seperti dipetik Harian Metro.

Noh berkata ketiadaan Aweera sepanjang tempoh itu tidak menjejaskan kumpulan rock itu, apatah lagi Aweera gagal menunjukkan prestasi dan kualiti yang diharapkan sepanjang bersama mereka.

“Prime Domestic kerap berdepan masalah Aweera gagal menyanyi dengan baik walaupun hanya untuk majlis makan malam yang santai.

“Dia sering tidur lambat, kurang stamina dan ia menjejaskan kualitinya sebagai penyanyi yang baik," kata Noh.

Noh membandingkan sikap itu dengan penyanyi Awie yang menurutnya sangat menjaga disiplin terutama dalam soal persiapan untuk persembahan.

"Ciri-ciri itu tidak ada pada Aweera,” katanya seperti dipetik.

Aweera yang sebelum ini dilaporkan mengesahkan pengundurannya enggan menjelaskan punca sebenar keputusan itu.

Terlebih dulu mengundurkan diri ialah pemain gitar Hillary Ang dan pemain bass Fauzi Zain. Kini kumpulan itu hanya dianggotai Joe (gitar) dan Ainol (dram).

Berhubung Hillary, Noh berkata ia merupakan keputusan bekas anggota Search itu sendiri dan pihak pengurusan tidak boleh menghalangnya.

"Namun apa yang boleh diperkatakan masalah ini berpunca sikap iri hatinya terhadap Joe.

"Ia membawa kepada isu ‘tikam belakang’ khususnya memburukkan nama Joe kepada pihak luar dan ia mengecewakannya selaku pengasas dan ketua kumpulan," kataya lagi.

Noh berkata, Joe sudah mencuba yang terbaik untuk mencari peluang membuat persembahan bagi menambahkan pendapatan tetapi ada anggota kumpulan yang menganggap akan menerima gaji bulanan.

Tentang pengunduran Fauzi pula, Noh berkata ia tidak melibatkan sebarang masalah dengan anggota kumpulan tetapi dia mahu mencari sumber pendapatan yang lain.

Lihat Komen