malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Ras Adiba mahu Fuziah minta maaf
Diterbitkan:  Aug 15, 2018 10:25 AM
Dikemaskini: Aug 17, 2018 3:39 AM
ADS

Ras Adiba Radzi tampil menyatakan bantahan apabila golongan tertentu dicadangkan untuk menggunakan kemudahan tandas orang kurang upaya (OKU).

Menurut bekas pembaca berita TV3 itu berkongsi tandas dengan individu tidak memerlukan kemudahan OKU hanya akan menambah bebanan yang sedia ada dipikul mereka.

Menjelaskan lebih lanjut melalui surat terbuka kepada Fuziah Salleh, Ras Adiba berkata timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu seakan-akan tidak menghormati perasaan OKU seperti dirinya.

Justeru kata Ras Adiba Fuziah wajar meminta maaf atas kenyataan yang dibuat kepada wartawan dua hari lalu.

“Maaf, kami sebulat suara tidak setuju. Ini adalah hak kami, kenapa perlu kami kongsi dengan mereka yang berupaya?

“Tahukah YB bahawa tandas kami sering disalahgunakan orang bukan OKU, juga untuk merokok, dijadikan bilik stor atau tempat rehat pekerja pembersihan?

“Saya pohon YB sebagai seorang menteri meminta maaf kepada komuniti OKU di Malaysia kerana tindakan YB ini membuat saya dan sahabat-sahabat OKU semua marah," katanya yang menulis di Instagram.

Tak selesa ke tandas biasa

Ras Adiba yang kini terpaksa menggunakan kerusi roda mengulas kenyataan dibuat Fuziah mengenai kemudahan terhadap golongan transgender yang mengadu berdepan masalah apabila mahu menggunakan tandas.

Malaysiakini pada 13 Ogos lalu melaporkan anggota parlimen Kuantan itu meminta masyarakat melihat masalah golongan transgender secara menyeluruh.

Katanya buat masa ini mungkin golongan transgender boleh menggunakan tandas OKU jika mereka tidak selesa menggunakan tandas lelaki.

"Kita kena lihat secara keseluruhan, transgender ini ada. Mereka kelompok kecil.

"Selama ini isu tandas tak timbul tapi oleh kerana isu ini besar maka timbul soalan pelbagai.

"Secara psikologi mereka ini ialah wanita yang terperangkap dalam tubuh lelaki, mereka akan rasa tak selamat tak selesa ke tandas lelaki.

“Akan tetapi bila ke tandas perempuan, perempuan juga tak selesa sedangkan selama ni orang perempuan tak rasa apa.

“Oleh kerana isu ini dah jadi isu besar, ia timbul dilema oleh golongan transgender.

"Buat masa ini, mungkin itu (menggunakan tandas OKU) ialah penyelesaiannya," katanya di lobi parlimen.

Selain Fuziah, surat terbuka Ras Adiba juga ditujukan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Hannah Yeoh.

Ras Adiba ialah pengasas serta pengerusi Persatuan OKU Sentral, iaitu pertubuhan bukan berorientasikan keuntungan untuk membantu orang kurang upaya.

Personaliti TV itu yang pernah sinonim dengan dunia kewartawanan dan pengacaraan lumpuh dari pinggang ke hujung kaki sejak pertengahan 2000.

Ini susulan kemalangan jalan raya semasa pulang membuat liputan pada 1996.

“Kami sudah sekian lama melalui keadaan sebegini, mengapalah YB ingin mencadangkan sebegitu?

“Apakah YB tidak membuat penyelidikan sebelum memberi cadangan ini dan apa YB tidak prihatin dengan keadaan kami ini?” katanya.

Bagaimanapun untuk rekod kenyataan Ras Adiba mengenai bantahan perkongsian tandas itu merujuk kepada kumpulan LBGT secara keseluruhan, dan isu penggunaan tandas yang dibincangkan sebelum ini lebih merujuk kepada komuniti transgender.

Lihat Komen