malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Elissa ajak wanita Lubnan bangkit lawan barah
Diterbitkan:  Aug 13, 2018 1:39 PM
Dikemaskini: 5:44 AM
ADS

Seorang bintang pop Lubnan, Elissa, mengejutkan ramai apabila mendedahkan dia berjaya melawan penyakit barah payudara yang dideritai.

Elissa membuat pendedahan itu melalui nyanyian dalam sebuah klip video yang disiarkan buat pertama kali di akaun Twitter miliknya.

“Saya telah pulih. Saya mengatasi penyakit itu. Saya berjaya.

“Pemeriksaan awal boleh menyelamatkan nyawa anda. Jangan abaikan tetapi berdepanlah dengan penyakit itu.

“Lakukan ia bukan saja untuk diri anda tapi orang yang tersayang,” kata Elissa pada bahagian akhir klip video berkenaan.

Membahas mahupun meningkatkan tahap kesedaran terhadap pembunuh nombor satu wanita itu biasanya dianggap isu terlarang bagi masyarakat Lubnan.

Pemilik nama sebenar Elissar Zakaria Khoury itu salah seorang artis wanita paling popular dan laris di negara Arab dengan jumlah pengikut 13.3 juta di Twitter.

Klip video berkenaan memaparkan Elissa didiagnos dengan barah payudara pada Disember tahun lalu.

Video diselangi dengan aksi-aksi tarian itu turut menampilkan imej Elissa, 46, berbaring di bawah mesin pengimbas dan katil hospital.

Ia turut merangkumi beberapa rakaman Elissa pengsan di atas pentas pada Februari sewaktu mengadakan persembahan di Dubai.

“Saya berasa tidak cukup kesedaran di Arab berhubung perkara ini. Elissa mengetahui penyakit itu kerana dia seorang yang berpendidikan dan melakukan rawatan secara tahunan,” kata pengarah video Angy Jammal.

Isteri presiden Syria pun ada

Pakar sakit puan dan dan anggota Kempen Kanser Payudara Lubnan, Faysal el-Kak menyanjungi keterbukaan Elissa berhubung penyakit berkenaan.

“Ini satu tindakan yang amat berani dan progresif,” katanya.

Faysal berharap peningkatan kesedaran dapat membantu lebih ramai orang mengesan tanda-tanda awal barah dan mencari rawatan.

Menurutnya lagi, masyarakat seharusnya mengubah persepsi berhubung topik yang dianggap tabu itu.

“Kaum hawa mengaitkan payudara sebagai lambang identiti mereka sebagai wanita. Pada mereka, didiagnos barah payudara boleh memberi kesan terhadap diri mereka.

“Kita wajar memecahkan tabu dan mengubah persepsi, pengesanan awal barah mampu menyelamatkan nyawa dan kewanitaan mereka,” katanya.

Sehari selepas video Elissa menjadi sensasi di Internet, isteri Presiden Syria Asma al-Assad juga mendedahkan beliau sudah memulakan rawatan barah awal payudara.

Sekeping gambar disiarkan media negara itu menunjukkan Asma sedang menerima rawatan sambil tersenyum ke arah suaminya, Bashar.

Lihat Komen