malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Maya mungkin menumpah kasih pada anak angkat
Diterbitkan:  Aug 13, 2018 9:52 AM
Dikemaskini: 3:24 AM
ADS

Demi kerjaya, aktres Maya Karin mendedahkan dia pernah mengorbankan kasihnya terhadap seorang ahli perniagaan berprofil tinggi dari Sepanyol.

Puncanya, bukan saja mereka dipisahkan oleh jarak yang begitu jauh, malah Maya dan lelaki terbabit tidak tergamak melepaskan pekerjaan yang menjadi sumber rezeki masing-masing.

Kata Maya, hubungan jarak jauh itu terjalin selama dua tahun sebelum menemui noktah pada 2016.

“Sukar untuk saya menjalinkan hubungan cinta jarak jauh. Dia pula tak mahu berkorban meninggalkan apa yang ada dalam genggamannya, begitu juga saya.

“Jadi, tiada guna meneruskan perhubungan itu. Kami saling berjanji cinta dan sumpah setia, tetapi hanya bertemu empat kali setahun.

“Memang saya amat menyayanginya, tetapi keadaan itu memaksa kami mengambil keputusan mengundurkan diri,” katanya yang sudah lapan tahun hidup menyendiri selepas bercerai pada 2010.

Pelakon yang pernah diangkat sebagai aktres terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-49 di Fukuoka, Jepun itu berkata, hubungan romantis berkenaan juga tidak pernah dikongsikan dengan sesiapa sebelum ini.

“Saya tidak pernah berkongsi cerita mengenai bekas kekasih saya ini dengan sesiapa.

"Saya terpaksa berahsia kerana kedudukannya sebagai lelaki berprofil tinggi,” katanya dipetik BH Online.

Namun, Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke mengakui, sekali-sekala timbul perasaan sunyi selain dirinya teringin hidup berkasih.

Menurut pelakon filem Munafik 2 itu, bukan tidak ada lelaki Melayu datang menghampirinya, cuma tiada keserasian terbina.

Pada ketika lain, katanya, lelaki Melayu yang cuba mendekati berstatus suami orang.

Bagaimanapun, dia tidak terburu-buru untuk menamatkan status bujangnya kerana apa yang penting ialah menemui pasangan hidup yang serasi.

Bahkan kata Maya dia bersedia menghadapi kemungkinan akan bersendirian lebih lama.

Justeru katanya jika ditakdirkan tidak bertemu jodoh dia teringin mencari anak angkat sebagai pendamping hidup.

“Saya bagaimanapun tidak berasakan akan bertemu jodoh dalam masa setahun setengah ini.

"Jika ada pun, mungkin apabila usia sudah mencecah 40 tahun ke atas.

“Saya mencari teman sehidup semati, jadi tidak perlu terburu-buru ke arah itu. Sekiranya ditakdirkan tiada jodoh untuk berkahwin lagi, saya mungkin mengambil anak angkat sebagai peneman hidup,” katanya.

Lihat Komen