malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
100 karya seni berinspirasikan Dr M dipamerkan
ADS

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melawat pameran seni ‘Tun M: A Forever Legacy’ anjuran Universiti Perdana di Serdang yang menampilkan lebih 100 karya seni berinspirasikan perdana menteri oleh artis dari 40 buah negara.

Dr Mahathir yang juga canselor pertama universiti itu, berada kira-kira 90 minit untuk melihat lukisan, lakaran dan potret dengan diiringi isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Bercakap kepada pemberita di akhir lawatan itu, perdana menteri yang kelihatan gembira dengan karya seni yang dipamerkan, berkata beliau tidak menyangka bahawa semua karya seni yang dipamerkan itu adalah lukisan tentang diri beliau hasil sentuhan artis dari luar negara.

"Saya berbesar hati oleh kerana orang tahu tentang saya sungguhpun mereka tidak berada di negara ini,” katanya.

Universiti Perdana dalam satu kenyataan berkata pameran itu adalah sanjungan daripada dunia kepada Perdana Menteri Malaysia oleh artis luar negara, termasuk dari Mongolia, Mexico, Iran dan Nigeria.

Dr Mahathir yang tiba pada 10 pagi disambut di lobi universiti itu dengan sorakan 'Hidup Tun' oleh hadirin.

Sebelum beredar, beliau singgah di satu sudut pameran di mana sekumpulan ahli muzik memainkan irama daripada lagu ‘Hey Jude’ yang dipopularkan oleh The Beatles, namun liriknya ditukar kepada ‘Hey Tun’ dan meminta perdana menteri agar terus tabah dan beliau tidak bersendirian.

Ini disusuli dengan lagu ‘Happy Birthday’ oleh kerana pameran itu dibuka pada 10 Julai bersempena meraikan ulang tahun ke -93 kelahiran Dr Mahathir.

-Bernama

​​​​​​​

Lihat Komen