malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Set permainan video buat Ozlynn rasa nak 'lipat-lipat' Johan
Diterbitkan:  Aug 10, 2018 4:04 PM
Dikemaskini: 8:09 AM
ADS

Tidak semua orang dapat memahami - atau menerima - hobi pasangan mereka, terutama melibatkan aktiviti langka seperti mengumpul barangan peribadi.

Itu yang terjadi kepada keluarga Johan Raja Lawak dan isterinya, Ozlynn Wati, apabila tiba-tiba muncul sebuah set mainan video di rumah mereka.

Ia diketahui Ozlynn apabila seorang lelaki - yang bertugas sebagai penghantar - meletakkan alat permainan berkenaan di rumah pasangan terbabit.

Sewaktu memerhatikan permainan arked itu diletakkan di tempatnya, Ozlynn sempat merakam aksi itu menggunakan telefon genggam - dan sambil membebel.

“Dia buat apa wei? Dia beli menatang (barang) apa pulak? Astaghfirullahalazim. Tak cukup ke dengan apa yang ada?

“Tak cukup, tak cukup, tak cukup,” katanya sambil menghalakan kamera telefon genggamnya ke seluruh ruang di dalam bilik rumah mereka yang turut diisi televisyen dan beberapa buah komputer.

Ozlynn memuat naik klip video berkenaan pada ruangan Insta Stories.

Pada keterangan gambar pula, Ozlynn menulis, dia berniat ingin ‘mengajar’ penjual mesin arked berkenaan.

Kata pemilik nama asal Rozlinawaty Ismail itu, Johan juga tidak terkecuali daripada mendapat 'penangan' nanti.

"Aku rasa macam nak bagi penerajang dekat yang jual ni.

"Kat laki aku, malam ni tau la ko aku lipat-lipat! Ko ingat rumah aku muzium ke?” katanya.

Bagaimanapun, perkongsian Ozlynn itu dipercayai sekadar gurauan.

Alat permainan video sebegitu popular pada lewat 1970-an dan semakin diminati ramai pada 1980-an. Ia juga pernah menjadi tempat berkumpulnya pelajar yang ponteng sekolah.

Barangan itu kini menjadi koleksi pencinta permainan video berkenaan.

Lihat Komen