malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pernah takut melampau, tengok ayam pun Hanez cuak
ADS

Pelakon Hanez Suraya mendedahkan dia mengalami paranoid ekoran pernah mengalami masalah kebimbangan melampau (anxiety) selepas melahirkan cahaya mata pertama, Putri Aleesya.

Kata Hanez, kebimbangan itu membuatkan dia takut untuk melakukan silap walaupun kecil.

Justeru kata pelakon Bicara Hati dan filem TV Suri itu, setiap kali mahu melahukan sesuatu dia akan mengambil langkah berhati-hati yang melampau.

“Kebimbangan melampau membuatkan saya takut nak buat semua benda, takut terbuat silap walaupun sekecil-kecilnya.

"Nak keluar melepak pun saya takutkan semua benda yang sepatutnya remeh,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran produk ubat gigi keluaran Aurawhite di Batu 9 Cheras, Selangor semalam.

Pemilik nama sebenar Hanez Suraya Abdul Aziz itu berkahwin dengan Romie Razin Adilha pada Disember 2015. Selain Puteri Aleesya, Hanez turut rapat dengan dua lagi anak Romie hasil daripada perkahwinannya yang terdahulu.

Dalam pada itu, kata Hanez simptom takut melampau itu turut membuatkan dia menjadi cerewet serba-serbi, termasuk dalam bab makanan.

Menurut Hanez, 32, pada kebiasaannya jika mengetahui sesuatu makanan itu mengandungi bahan yang dirasakan tidak diperlukan, dia akan menolaknya.

Nak berkongsi tak yakin pula

“Selepas bersalin semua perkara buat saya takut. Dulu saya tidak tahu langsung apa maksud di sebalik penyakit kebimbangan.

"Masalah dihidapi buatkan saya lebih banyak nak duduk dalam rumah saja.

“Sampaikan tengok ayam pun saya takut, daging pun sama. Lebih-lebih lagi kalau saya rasa ayam atau daging tu diberi apa-apa suntikan hormon.

"Akhirnya saya hanya makan ikan dan sayur-sayuran saja," katanya.

Menurut Hanez dia membuat carian di internet untuk mendapatkan maklumat yang dirasakan penting.

Akibatnya ketakutan melampau itu kata Hanez berat badannya turun mendadak.

Menurutnya lagi, masalah itu mendorong dia sentiasa bersendirian di dalam bilik selain resah untuk memandu.


Baca Priyanka, Jonas terus hangat dilamun cinta


Untuk berkongsi masalah pula katanya dia teragak-agak kerana berpendapat tidak semua orang dapat memahami apa yang dilaluinya itu.

Malah kata Hanez suaminya sendiri tidak tahu apa yang sedang dilaluinya.

“Sukar untuk berkongsi cerita dengan orang yang tidak memahami.

“Penyakit ini berbahaya jika dibiarkan begitu saja, ia boleh menyebabkan saya mengalami kemurungan. Ada kalanya saya boleh mendengar suara dan bisikan halus,” katanya.

Pun begitu, Hanez tidak merujuk kepada mana-mana pakar psikiatri kerana dia juga takut terpaksa terikat dengan ubat-ubatan.

Katanya dia lebih selesa untuk berkongsi masalah atau pengalaman dengan Persatuan Miasa Malaysia (Mental Illness Awareness & Support Association) atau di media sosial.

“Tidak sangka, apabila meluahkan perasaan dengan pengikut di Instagram ramai yang mula memberikan mesej secara peribadi menyatakan mereka turut menghidapi kebimbangan.

“Di situ (Miasa) kami saling meluahkan masalah bagi mengurangkan beban yang ditanggung,” katanya.

Lihat Komen