malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Abby: Tolong jangan buang bayi, ramai sudi jaga
Diterbitkan:  Jul 5, 2018 9:20 PM
Dikemaskini: 1:24 PM
ADS

Ketika negara ini sibuk memperkatakan isu nasib malang yang menimpa bayi - termasuk yang ditinggalkan begitu saja - Abby Abadi menawarkan diri untuk menjadi “penyelamat” kepada nyawa-nyawa tidak berdosa itu.

Justeru Abby merayu agar bayi-bayi berkenaan tidak dibuang kerana ia boleh diserahkan kepada pasangan yang sudah lama berkahwin tetapi tidak dikurniakan sebarang cahaya mata.

Abby berkata dia juga bersedia untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan atau berdepan halangan untuk membesarkan anak yang baru dilahirkan itu.

“Yang sedang mengandung dan tak mampu nak pelihara bayi tu DM (hubungi secara langsung) kita ya. Kita akan usaha bantu semampunya. Jangan keruhkan lagi keadaan. Bayi itu tidak berdosa.

“Kita usaha bantu untuk apa yang terdaya je. Jangan dibuang... ramai yang sudi jaga. Saya mohon,” katanya melalui Instagram.

Bekas penyanyi kumpulan Elite itu turut membuka peluang kepada mana-mana pasangan atau individu yang ingin mendapatkan khidmatnya agar terus berhubung secara terus melalui Instagram.

“Untuk urusan ini DM tau, terima kasih,” katanya.

Bulan lalu, Abby, 40, mengundang perhatian ramai apabila meluahkan hasrat untuk mencari seorang anak angkat yang ingin dijaga bak anak kandung.

Pada hari sama - beberapa jam selepas mengumumkan keinginan itu - hajat Abby termakbul dengan kehadiran seorang bayi yang baru berusia sembilan hari.

Abby kemudian memilih Muhammad Daiyan Fayyadh untuk nama bayi berkenaan.

“Rezeki. Terima kasih Allah. Dah dapat bayi lelaki. Bila Allah nak bagi... syukur. Doakan semoga segala urusan dokumentasi dipermudahkan,” katanya pada 27 Jun lalu.

Sejak itu, Abby sering memuat naik pesanan di media sosial untuk menyampaikan mesejnya kepada mana-mana pasangan atau individu supaya tidak membuang bayi mereka.

Abby kini isteri kepada Muhammad Faizal Zakari selepas diijabkabulkan pada 14 Ogos 2015. Sebelum itu Abby sudah berkahwin sebanyak tiga kali.

Pasangan pertamanya ialah Norman Hakim dan hasil pernikahan itu mereka dikurniakan tiga orang anak, Mohamed Danish Hakim, Marissa Dania Hakim, dan Maria Danisha Hakim.

Abby kemudian berkahwin dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar pada pada 2013 dan bercerai 11 bulan kemudian.

Lihat Komen