malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Makanan Malaysia pernah pikat hati Bourdain
ADS

Kematian mengejut chef selebriti, Anthony Bourdain, yang gemar mengembara ke seluruh pelosok dunia untuk melakukan penggambaran rancangan masakan - menurut polis beliau telah membunuh diri di Strasbourg, Perancis – telah mengejutkan peminat dan rakannya.

Bourdain, 61, yang mencampuradukkan elemen romantik dan melulu dengan pengalaman ketika pengembaraan dalam penggambaran itu, memiliki pemahaman yang baik tentang selok-belok masakan Asia.

Meskipun beliau sering bercakap tentang makanan kegemarannya iaitu sushi, tidak ramai yang tahu bahawa Bourdain turut terpesona dengan kepelbagaian masakan Malaysia selepas mencuba makanan yang dijual di tepi jalan dan restoran berkelas di bandar-bandar besar.

Tanggapan Bourdain terhadap budaya makanan Malaysia telah diungkap dalam beberapa video.

Beliau menyifatkan Malaysia sebagai tempat untuk bertemu penganut agama Islam, Buddha dan Hindu yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan Indian, serta menggelar Kuala Lumpur sebagai tempat di mana kesemua kumpulan etnik itu berkumpul.

Baginya, Malaysia adalah “land of fusion,” menyaksikan gabungan masakan dan budaya yang bercampur aduk selama berdekad-dekad.

“Ia adalah tempat yang anda boleh kunjungi sebagai pelancong, namun lebih baik jika anda mengalaminya sebagai seorang penggemar,” katanya ketika melakukan penggambaran di sebuah pasar di Kuala Lumpur.

Bourdain, yang melakukan perjalanan menggunakan kereta api metro Kuala Lumpur, berkata seperti New York, Malaysia adalah wadah tumpuan kebanyakan budaya, oleh itu, makanan dan pasar merupakan cara terbaik untuk '’memikat hati penduduknya."

Pertemuannya dengan Chef Wan di Kuala Lumpur adalah pengalaman yang sukar dilupakan ketika berkunjung ke sebuah pasar di ibu kota; dan seperti kebanyakan rakyat Malaysia, Bourdain turut makan menggunakan tangannya.

Bourdain juga pernah melawat Batu Caves, yang terletak di pinggir Kuala Lumpur, mendaki 272 anak tangga untuk tiba ke kawasan gua, dan turut menyaksikan pesta Thaipusam serta mencicipi hidangan eksotik yang disajikan di pasar.

Selepas bertemu seorang pembuat tatu Iban, beliau menjadi pemilik tatu ular berlingkar berhampiran lehernya, dan melakukan perjalanan melalui jalan raya dan sungai untuk ke rumah panjang kaum Iban di Sarawak.

Di Kuching, beliau telah terpikat dengan kelazatan laksa Sarawak.

Pertemuan Bourdain dengan bekas seorang pemburu yang memenggal kepala mangsanya adalah sesuatu yang agak melucukan.

Orang Iban itu telah menghidangkan makan tengah hari terdiri daripada ikan yang baharu ditangkap dan dimasak bersama-sama nasi serta sayuran dalam sebatang buluh.

Di rumah panjang lelaki itu, beliau melihat tengkorak manusia yang disiat kulit kepalanya dan dijaga rapi oleh bekas pemburu yang masih mengamalkan beberapa upacara tetapi tidak lagi memenggal kepala.

Ketika berangkat untuk bertemu puak Iban tersebut, Bourdain berkata: “Saya dalam keadaan kecewa dan berada di persimpangan hidup saya ketika pertama kali menyelusuri Sungai Skrang di Sarawak, Borneo.

"Orang-orang yang saya temui di sana, 10 tahun lepas, telah menjadi hos saya dan kru di rumah panjang mereka. Mereka menjaga kebajikan dan makan minum serta melayan kami dengan amat baik.

“Apabila ketua puak itu menjemput saya untuk kembali menyambut pesta menuai yang diadakan setiap tahun, Gawai Dayak, saya kata saya akan datang.

“Saya mengambil masa yang agak lama, namun akhirnya saya kembali juga,” katanya ketika mengenangkan kisah itu.

Mengulas kisah pemburu yang memenggal kepala mangsanya, Bourdain berkata, “Orang Iban adalah tuan rumah yang amat baik.

"Memang benar pada suatu masa dahulu, mereka adalah pemburu yang memenggal kepala mangsanya, satu tradisi yang mereka banggakan, dan ini digambarkan menerusi tatu yang kian memudar di jari-jemari orang-orang tua serta jambakan tengkorak yang berhabuk dan tergantung di atas kepala saya di rumah panjang itu.

“Bagaimanapun, tengkorak itu sudah tiada dan kini terdapat lebih banyak TV serta telefon bimbit. Ketika saya tiba, sahabat handai dan saudara-mara dari seluruh pelosok dunia telah pulang untuk meraikan pesta itu. Hutan juga telah ditebang akibat pembalakan namun keadaan masih kekal sama.”

Bourdain turut menyifatkan habitat Orang Iban sebagai “satu daripada tempat paling cantik di muka bumi ini, terletak jauh di pedalaman dan amat berbeza dengan kawasan di mana saya membesar."

'’Mereka adalah orang-orang yang amat menawan, dan makanannya, seperti di tempat-tempat lain di Malaysia, adalah luar biasa. Pendek kata, ia adalah pengalaman pengembaraan yang terbaik.'’

Bourdain turut berkunjung ke Pulau Pinang dan berpendapat juadah tempatan iaitu asam laksa “amat sedap.” -Bernama

Lihat Komen