malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
DJ Dave tak ada agenda tukar nama yayasan
ADS

Tidak ada sebarang helah atau kepentingan apabila nama Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) tiba-tiba ditukar menjadi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), kata pengerusinya Datuk DJ Dave.

Katanya, langkah berkenaan dibuat sebagai menyahut kehendak kerajaan baru yang tidak berminat lagi kepada slogan 1Malaysia diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Malah Dave, 70, menafikan sekeras-kerasnya langkah penukaran nama itu dibuat kerana kepentingan politik.

Jika ada pun kaitan ia tidak lebih daripada sekadar menghormati Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Orang seni bukan orang politik. Kami pemegang amanah YKAT hanya menurut perintah. Dulu YA1M juga berada di bawah kerajaan (BN).

“Yayasan ini juga bukan perniagaan, sebaliknya berkaitan kebajikan. Kami hanya menjaga kebajikan artis. Ia tiada kena mengena dengan kepentingan peribadi.

“Prinsip saya, kita kena mengikut dasar kerajaan,” katanya kepada Malaysiakini.

Sukar puaskan hati semua

Ditubuhkan pada 2012, YA1M sejak itu berfungsi membela kebajikan artis industri tanah air seperti penyanyi, pemuzik dan pelakon tanpa mengira bangsa, agama serta keturunan.

YA1M menyalurkan terus sumbangan kewangan kepada golongan memerlukan yang terdiri daripada artis sakit, tiada punca pendapatan, usia menjangkau lebih 60 tahun dan khairat kematian.

Walaupun YA1M ditukar nama secara rasmi kepada YKAT pada 5 Jun lalu, badan itu masih mengekalkan pendekatan sama selaras misi, visi dan agenda digunapakai sejak 7 tahun lalu bagi menjaga kebajikan artis.

Bagaimanapun, tindakan menukar nama YA1M mencetuskan polemik dalam kalangan netizen apabila wujud pihak yang beranggapan tindakan itu dilakukan untuk mengampu Pakatan Harapan selepas gabungan itu menumbangkan BN pada 9 Mei lalu.

Dave berkata, memang terlalu sukar memuaskan hati semua orang pada setiap masa bagi sesuatu tindakan.

“Kita tidak boleh buat semua orang gembira atau setuju dengan kita, tetapi kita boleh cuba bergembira dengan semua orang.

"Orang lain nak cakap apa pun, cakaplah,” katanya.

Sementara itu, Dave turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa penukaran nama adalah bertujuan untuk memudahkan proses meraih dana bagi meneruskan kelangsungan YKAT.

Kata penyanyi Masa Yang Lepas Takkan Kembali Lagi dan Maafkanlah itu, laporan kewangan YKAT diaudit badan profesional, justeru penyata kewangan boleh disemak tanpa prejudis.

“Kami bekerja secara sukarela, satu sen pun kami tidak ambil gaji. Perkara ini sudah disalah tafsir sewenang-wenangnya.

“Usaha dilakukan demi YKAT selama ini adalah ikhlas, saya tidak perlu berasa bimbang sekiranya timbul dakwaan tidak munasabah,” katanya.

Lihat Komen