malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Hos, penerbit Sukan Tak Sentral bebas tuduhan hina Watson
Diterbitkan:  Jun 9, 2018 5:25 PM
Dikemaskini: 9:29 AM
ADS

Bekas hos siri Sukan Tak Sentral serta penerbitnya dibebaskan oleh mahkamah daripada tuduhan menghina bekas raja pecut negara Watson Nyambek.

Menurut laporan media Azizul Ammar Abu Hassan dan penerbit program berkenaan Abdul Ghani Mokhtar kelihatan berpelukan selepas majistret membacakan keputusannya.

Kes berkenaan dibicarakan di Mahkamah Majistret Sibu, Sarawak.

Majistret Saiful Sayoti berkata Azizul Ammar, 31, dan Abdul Ghani, 42, dibebaskan daripada tuduhan berkenaan apabila pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terjadap kedua-dua mereka.

Menurut laporan Utusan Borneo, tertuduh diwakili peguam Orlando Chua manakala Mohamad Zulfadli Tuah bertindak sebagai timbalan pendakwa raya.

Mengikut pertuduhan Azizul Ammar dan Abdul Ghani didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 11.30 pagi di sebuah hotel di Jalan Wong King Huo pada 22 Mei 2017.

Sehubungan itu mereka dituduh mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang menyediakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu Watson dilaporkan sangat berang apabila program Sukan Tak Sentral itu menyiarkan jenaka yang mempersendakan nama bapanya.

Ekoran insiden itu wakil TV3 dan Primeworks Studios Sdn Bhd mengadakan pertemuan dengan Watson dan memohon maaf.

Bagaimanapun Watson ketika itu dilaporkan berkata, dia enggan memaafkan pihak terbabit.

"Mungkin suatu hari nanti jika saya sudah lebih tenang saya akan terima," katanya kepada media di Miri, pada 24 April tahun lalu.

Selepas siasatan dijalankan Azizul Ammar dan Abdul Ghani didakwa di Mahkamah Majistret Sibu pada 6 Jun 2017.

Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah.

Keputusan kes berkenaan dibacakan Saiful pada 6 Jun lalu.

Lihat Komen