malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Lepas 3 hari HARAPAN menang 'rezeki' Aishah mengundang
ADS

Kejayaan Pakatan Harapan (HARAPAN) menumpaskan BN di gelanggang pilihan raya umum (PRU) ke-14 baru-baru ini turut membawa bersama rasa syukur buat sebilangan penggiat seni hiburan tanah air.

Perkara menyenangkan hati itu paling dirasai selebriti yang sebelum ini 'menderita' apabila nama mereka sering ditolak untuk mengambil bahagian dalam program TV dan radio, serta tiada liputan di kebanyakan media.

Biasanya nasib malang akan menimpa seseorang selebriti apabila mereka bersikap lantang kepada kerajaan, apatah lagi jika meletakkan diri bersama parti pembangkang.

Itu yang dirasai selama beberapa tahun oleh penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin atau Aishah.

Selepas HARAPAN berjaya menawan Putrajaya, khabar menggembirakan pun hadir buat penyanyi Janji Manismu itu.

“Tak perlu tunggu lama - tiga hari saja. Selepas PRU ke-14 berakhir saya menerima undangan daripada sebuah stesen penyiaran.

“Sebelum ini sejak saya aktif dalam parti politik, mereka tidak pernah menyampaikan undangan," katanya kepada Malaysiakini.

Adil untuk anak seni

Aishah, 53, ditemui pada majlis sidang media dan tayangan perdana Program Raya Astro di Kuala Lumpur kelmarin.

Sempena hari raya puasa kali ini Astro menyediakan program istemewa yang akan disiarkan di platform digital, televisyen dan radio.

Nama Aishah sebagai penyanyi memang pernah menjadi bualan ramai apabila lagunya menjadi kegemaran ramai. Namun pada satu ketika dia melibatkan diri dalam PAS dan terpilih menjadi calon parti itu semasa PRU ke-13.

Aishah bertanding mewakili pembangkang di kerusi parlimen Jempol dan berdepan Tan Sri Isa Samad. Dia gagal mengetepikan tokoh kanan Umno berkenaan apabila kalah dengan perbezaan 8,614 undi.

Apabila pemimpin aliran sederhana dalam PAS menubuhkan AMANAH, Aishah turut menyertai parti berkenaan.

Walaupun tidak bertanding untuk sebarang kerusi pada PRU pada 9 Mei lalu, Aishah turut terbabit bekempen di beberapa lokasi seperti Sabak Bernam, Tampin, Jelebu, Parit Buntar.

Kata Aishah dia gembira apabila HARAPAN berjaya menjadi kerajaan dan berharap banyak perubahan dapat dilakukan dalam bidang seni negara.


Baca Aishah nak jumpa 'ustazah Hamidah'


Antaranya, kata Aishah, kerajaan tidak menyekat artis bersuara atau menyatakan pandangan yang berbeza dengan kerajaan.

“Saya harap HARAPAN dapat mengamalkan sistem adil buat penggiat seni yang mempunyai pegangan politik tertentu sekiranya mereka ingin menyuarakan pandangan masing-masing.

“Selama ini boleh nampak ramai artis berbakat tidak diberi peluang bekerja, periuk nasi mereka disekat hanya kerana menegur kerajaan,” katanya.

Lihat Komen