malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
FBI: Saya tak dengar jelas butiran kata-kata pemanggil
Diterbitkan:  May 25, 2018 10:17 PM
Dikemaskini: 2:21 PM
ADS

Pengacara Hot FM, Faizal Ismail, malam ini menjelaskan berhubung isu soalan pendengar yang tidak ditapis stesen radio berkenaan sehingga mengundang insiden tidak disenangi ke atas Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Menurut Faizal, dia tidak dapat memberikan respon yang sepatutnya kerana tidak mendengar dengan jelas butiran soalan diajukan kepada Nurul Izzah sewaktu program #FBILIVE sedang bersiaran secara langsung.

“Atas faktor teknikal pada masa itu saya tidak dapat memberikan respon yang tepat dan sepatutnya.

“Di audio telefon lebih jelas. Dan apabila saya mendengar semula rakaman, baru saya perasan dan kami terus memohon maaf kepada YB,” ciapnya di Twitter.

Untuk rekod, pengacara itu juga dikenali dengan nama singkatan FBI.

Dalam program yang bersiaran pada 22 Mei lalu, seorang pemanggil memperkenalkan dirinya sebagai Azrul mengaku pernah bertemu anggota parlimen Permatang Pauh itu ketika bertugas.

Melalui panggilan telefon berkenaan dia memberi teguran mengenai cara pemakaian Nurul Izzah yang dirasakan tidak bersesuaian dengan statusnya sebagai seorang tokoh Muslimah.

Tak setuju hina wanita

Melalui pemerhatian individu terbabit, Nurul Izzah sepatutnya lebih berhati-hati terutama apabila tudung yang dipakainya terselak.

“YB (Nurul Izzah) kena berhati-hati sebab YB pakai tudung. Tudung YB kadang-kadang terselak. Kadang-kadang ternampak bahagian yang tak sepatutnya,” katanya.

Walaupun kelihatan sedikit terkejut, Nurul Izzah tidak terus melatah, sebaliknya menjawab dengan tenang dan berterima kasih kepada pemanggil terbabit.

Namun individu itu terus memberi perincian baju kebaya Nurul Izzah yang menurutnya 'ketat'.

“Nampak baju dalam semua. Nampak buah dada tulah,” katanya.

Klip rakaman program itu menjadi tular di media sosial dan mengundang perhatian ramai terutama mereka yang berang dengan cara teguran yang disampaikan.

Segelintir pengguna alam maya pula menyatakan simpati dan memberi sokongan terhadap insiden yang berlaku kepada anak sulung pasangan Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu.

Rata-rata mengecam sikap individu itu dan mempersoalkan bahawa dia seharusnya menggunakan cara yang lebih sesuai jika betul-betul ikhlas dalam tegurannya.

Faizal dalam pada itu sekeras-kerasnya berkata, dia tidak menyokong sekiranya ada individu yang memberi komen yang menghina mana-mana wanita.

“Saya sekeras-kerasnya menentang sebarang komen yang merendah-rendahkan martabat kaum wanita dan apa yang dilakukan oleh pemanggil tersebut adalah sangat tidak wajar,” katanya.

Lihat Komen