malaysiakini logo
story-image
ADS

Kerajaan diseru mengembalikan semula matlamat asal pembangunan Filem Nasional Malaysia Wawasan 2020, sebagai sasaran segera pembangunan industri filem dan kandungan kreatif negara masa kini.

Pengembalian semula ini perlu memandangkan agenda bidang perfileman dan industri kandungan kreatif semenjak dua tahun kebelakangan telah melencong ke arah matlamat jangka panjang 2050, tanpa sebarang pelan bertahap yang dapat memacu pembangunan secara berperingkat dan berterusan.

Dalam era pentadbiran negara yang menekankan pembangunan inklusif, telus dan berwibawa kini, usaha menjadikan filem sebagai wadah pembinaan “negara-bangsa Malaysia Baru”, yang menggunakan teknologi tinggi dan bernilai sejagat, patut diberikan penekanan.

Untuk menjayakan matlamat ini sebuah jawatankuasa yang dianggotai pakar bidang yang berkaitan, tokoh dan ilmuan bidang perfileman dan cendekiawan berwibawa perlu ditubuhkan.

Tujuannya ialah untuk meneliti dan mengkaji perkara-perkara berbangkit dari dasar masa lalu serta menggariskan pelan tindakan penambahbaikan yang sejajar dengan falsafah pentadbiran Malaysia Baru yang hendak dicapai.

Satu aspek penting menjayakan matlamat baru ini ialah dengan memperbetulkan peranan yang dimainkan oleh badan dan persatuan-persatuan perfileman.

Persatuan-persatuan perfileman kini perlu menjadi badan profesional yang befungsi sebagai komponan penting industri, bukan lagi kumpulan manggar yang menghiasi majlis atau kempen pihak-pihak tertentu.

Program dan aktiviti untuk meningkatkan profesionalisme pengamal yang menjadi ahli persatuan perlu diutamakan, sama seperti persatuan sukan yang memberi tumpuan kepada program latihan meningkatkan bakat dan kemahiran ahli-ahlinya.

Untuk itu persatuan khusus untuk setiap bidang kerjaya dalam industri filem hendaklah diiktiraf secara khusus. Persatuan-persatuan yang sedia ada dengan sedikit penambahbaikan boleh memenuhi peranan ini.

Antara persatuan yang relevan dengan matlamat ini ialah Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Persatuan Penulis Skrip Malaysia, Malaysian Society of Cinematographers (MySC), Persatuan Pekerja Filem Profesional (PROFIMA), dan Persatuan Seniman Malaysia.

Sebaiknya persatuan-persatuan ini didaftarkan semula melalui Finas atau setidak-tidaknya diletakkan di bawah naungan Finas, sama seperti persatuan-persatuan sukan yang didaftarkan di bawah Majlis Sukan Negara.

Dengan begitu, dengan mengambil model hubungan antara Majlis Sukan Negara dan persatuan dan badan-badan sukan, pengamal atau profesional industri filem akan menjadi pendokong utama yang berdaya saing dan berkeupayaan tinggi dalam menjayakan matlamat industri filem negara.


Dr Mahadi J Murat ialah seorang Award Winning Film Director, presiden pengasas Persatuan Sutradara Malaysia, mantan presiden Federation of Screen Guilds Malaysia, bekas pensyarah pengajian media, filem dan televisyen di Uniersiti Malaya dan UiTM dan kini di UIAM.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen