malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
'Kembalikan semula kementerian kebudayaan, kesenian dan warisan'
Diterbitkan:  May 22, 2018 2:44 PM
Dikemaskini: 7:00 AM
ADS

Sekumpulan aktivis kesenian menggesa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) mengembalikan semula kementerian kebudayaan, kesenian dan warisan dalam kabinet baru.

Menggelarkan diri sebagai Komuniti dan Penggerak Seni dan Budaya Malaysia, mereka berkata di bawah pentadbiran terdahulu, portfolio warisan daripada kementerian berkenaan digugurkan pada 2009, manakala kesenian disingkirkan tiga tahun selepas itu.

"Kami menggesa kerajaan yang baru memulihkan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, dan kami berharap dapat terlibat dengan menteri yang dilantik dengan semangat keterbukaan dan kebaikan bersama," kata mereka dalam kenyataan bersama.

Justeru, dengan adanya kementerian khusus ini diharap dapat memastikan sektor kesenian, kebudayaan dan warisan memainkan fungsinya yang unik dan kritikal terhadap transformasi negara.

“Malaysia memerlukan komuniti seni dan budaya, lebih-lebih pada waktu sekarang ini disebabkan penyalahgunaan kuasa, kecuaian dan ketirisan yang dibuat penguasa hingga menimbulkan perasaan tidak percaya.

“Selain itu, kepelbagaian budaya perlu subur dalam kerangka demokrasi.

"Sikap saling hormat menghormati demi keamanan, keperibadian dan pembangunan menyeluruh - meliputi pengetahuan dan amalan turun temurun dalam masyarakat setempat, di peringkat nasional dan antarabangsa perlu diamalkan,” kata kumpulan itu.

Sehubungan itu, sebuah petisyen dianjurkan bagi menggesa kerajaan mengembalikan kementerian berkenaan.

Setakat ini mereka menerima lebih 3,400 tandatangan dalam tempoh 36 jam.

Mereka yang menandatangani petisyen itu terdiri daripada individu dari institusi awam dan swasta, persatuan formal dan bebas, pengamal, pendidik, aktivis, serta pencinta seni.

Lihat Komen