malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Fikry sengaja kaburkan rambut Uqasha sebab takut dosa
Diterbitkan:  May 18, 2018 1:19 PM
Dikemaskini: 9:17 AM
ADS

Pada pandangan segelintir pengguna internet, tindakan sengaja mengaburkan rambut Uqasha Senrose dianggap lucu, namun ada pihak lain pula berpendapat langkah yang betul ialah tidak memuat naik sama sekali gambar berkenaan ke laman sosial.

Namun, sebagai seorang daripada barisan pelakon drama Rahsia Hati Perempuan, tanggung jawab Fikry Ibrahim bukan sekadar memenuhi permintaan skrip bahkan merangkumi aktiviti mempromosi projek terbarunya itu.

Semasa menjalankan tanggung jawab menguar-uarkan drama arahan Michael Ang berkenaan, Fikry tidak mahu mengabaikan tuntutan agama yang mahu wanita menutup aurat.

Justeru, pemilik nama penuh Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 24, itu menyunting imej pada bahagian rambut Uqasha dengan bertujuan untuk menutup aurat aktres itu sebelum dimuat naik pada akaun Instagram miliknya.

"Buat apa saya nak tanggung dosa orang lain. Selagi boleh elak, saya akan cuba elak. Kalau saya tidak muat naik foto dia takut jadi salah faham pula.

"Jadi nak tak nak, saya terpaksa kaburkan rambut dia. Saya ada baca juga komen netizen yang mempertikaikan kenapa saya berbuat begitu

"Tak kisahlah mereka nak kata apa. Tapi selagi saya boleh elak, saya akan cuba,” katanya seperti dipetik mStar Online.

Imej berkenaan pada asal memaparkan Uqasha tidak bertudung dan selain Fikry, sesi bergambar itu turut disertai dua pelakon lain iaitu Hisyam Hamid dan Mira Filzah.

Fikry menyunting bahagian rambut kakak Nelydia Senrose itu dengan tujuan untuk menutup bahagian rambutnya yang terdedah.

Untuk rekod, Uqasha sebelum ini memang pernah bertudung selama tiga tahun, tetapi mengambil keputusan untuk menanggalkannya kerana berpendapat masih belum benar-benar bersedia.

Tindakan Fikry itu turut mengundang pujian daripada pengguna alam maya kerana dia tidak menyebarkan dosa kepada orang lain.

Dalam pada itu, pengacara Gema Gegar Vaganza masih berpegang dengan prinsip tidak mahu melakukan babak bersentuhan dengan pelakon wanita.

"Saya memang akan letak syarat tidak mahu melakonkan babak yang memerlukan saya bersentuhan dengan pelakon wanita.

"Tak kisah kalau pihak produksi atau pengarah tidak boleh terima tapi saya tetap dengan prinsip itu," katanya.

Lihat Komen