malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Kerajaan HARAPAN ada cara bela nasib artis
ADS

Kerajaan wajar merangka rancangan menyusun semula Kongres Kebudayaan Kebangsaan bagi membela nasib seniman serta anak seni di negara ini, kata anggota parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

Katanya kongres berkenaan pernah diusahakan pada 1970-an namun tidak pernah diwartakan.

Justeru kata Fahmi ia perlu distruktur semula bagi menyesuaikannya dengan keperluan semasa.

"Harapan saya untuk mengumpul kesemua anak seni dalam pelbagai bidang tidak kira filem, teater atau apa saja agar mereka bebas untuk suarakan apa saja yang terpendam di hati demi perkembangan industri.

"Sebelum ini begitu ramai kenalan yang menyuarakan pendapat masing-masing tetapi kebanyakannya tidak diendahkan," katanya ketika ditemui pada sesi ramah mesra dengan penggiat seni di Kuala Lumpur hari ini.

Pertemuan itu dihadiri kira-kira 100 penggiat seni antaranya pelakon Sharifah Amani, Farid Kamil, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, Fauziah Nawi, penyanyi Safura, Tam Suhaimi, dan Iedil Putra.

Selain itu, Fahmi yang pernah bergiat dalam aktiviti kesenian sebelum terjun ke lapangan politik berkata beliau akan turut mengkaji dana kesenian yang sedia ada.

"Isu di sini adalah pengurusan dana itu sendiri. Harus ada anjakan paradigma apabila berfikir tentang dana. Jika kita melihat semata-mata pada dana ia akan habis," katanya.

Bukan niat kejar populariti

Karier Fahmi sebagai anak seni bermula pada 2001 apabila beliau mengarahkan sebuah naskah berjudul Lebih Kecoh yang dipentaskan di Actors Studio, Stadium Merdeka.

Fahmi juga pernah muncul dalam drama bersiri Gol & Gincu yang ditayangkan pada 2006.

Beliau yang mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan kimia terbuka hati untuk bergiat aktif dalam bidang politik selepas menyertai sebuah perhimpunan pada 1999 di masjid negara.

Dalam pada itu, Fahmi menafikan kehadirannya pada sesi ini adalah untuk melobi dirinya dalam mana-mana portfolio dalam kerajaan.

Sebaliknya, kata Fahmi beliau hanya ingin mendengar suara hati penggiat seni.

"Saya tidak berniat untuk mengejar populariti sebaliknya berhasrat melakukan perubahan lebih baik dalam industri," katanya.

 

Lihat Komen