malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
3 tahun sepi, Mila Jirin kembali dengan lagu dakwah
Diterbitkan:  May 7, 2018 2:16 PM
Dikemaskini: 6:20 AM
ADS

Selepas tiga tahun menyepi, juara Akademi Fantasia musim kelima, Mila Jirin kembali dengan single terbaru berunsur Islamik, Adam & Hawa.

Berkongsi lanjut mengenai Adam & Hawa, Mila berkata, untuk kembali dalam industri selepas menempuh alam perkahwinan, dia terlebih dahulu perlu mendapat restu suami, Ahmad Ailis Mohamed Mustapha, 39.

Menurutnya, Ahmad Ailis meletakkan beberapa syarat sebelum bersetuju, antaranya dia perlu menyanyikan lagu berunsur dakwah jika ingin meneruskan kariernya sebagai penghibur.

“Suami, pada mulanya tidak mengizinkan saya kembali aktif menyanyi. Dia bimbang jika terbuai hingga mampu menjejaskan perniagaan.

“Saya pula rindu menyanyi selepas lebih tiga tahun tidak masuk studio rakaman. Akhirnya selepas puas memujuk, suami bersetuju dengan syarat saya menyanyi lagu-lagu Islamik dan mempunyai senikata yang baik.

“Selain itu, setiap sen pendapatan yang diperoleh akan disumbangkan kepada Unit Salam, Muslim Volunteer Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Penyanyi yang popular dengan lagu Persis Mutiara dan Aku Lebih Tahu itu berkata, dia memilih untuk bekerjasama dengan komposer dari Jogjakarta, Indonesia, Sigit Baskara bagi merakam lagu itu.

“Saya melihat Sigit memiliki ilmu seni yang halus. Dia mentafsir al-Quran untuk menghasilkan lirik lagu Adam & Hawa.

“Lirik lagu ini diterjemahkan menerusi al-Quran yang menceritakan pertemuan Nabi Adam AS dan isterinya, Hawa selepas 200 tahun terpisah,” katanya yang meminati lagu Fatamorgana ciptaan Sigit, dendangan kumpulan The Q.

Selain Adam & Hawa yang dilancarkan secara rasmi 13 April lalu, dua lagi lagu turut dirakamkan di studio milik pemain gitar Kumpulan Sheila On 7, Eross Candra.

Tiga video muziknya pula dilakukan di sekitar padang pasir di Gumuk Pasir Parangkusumo dan Pantai Parangtritis yang menghadap Lautan Hindi.

Katanya, bekerja dengan Sigit memberi suatu pengalaman berbeza terutama dalam memberikan kebebasan untuknya mewarnai lagu yang dinyanyikan.

“Saya pelik ketika rakaman Sigit duduk jauh dari saya. Di hadapan saya hanya ada jurutera muzik.

“Tertanya-tanya juga kenapa Sigit tidak memberikan saya idea. Dia hanya membetulkan jika ada kekurangan dari segi vokal. Selebihnya, Sigit membiarkan saja.

“Rupa-rupanya dia mahu saya menyanyi dari hati. Saya melihat caranya amat berbeza dengan komposer Indonesia lain yang pernah saya bekerjasama,” katanya yang terbang ke Jogjakarta Mac lalu.

Lihat Komen